‘Sudah berusia, lepas bertarung kena drip empat beg air’

DEMI memenuhi tuntutan watak dan disiplin kerja sehingga mengalami keletihan, pelakon Datuk Aaron Aziz mendedahkan dirinya terpaksa dimasukkan ke hospital ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharu, Banduan.

Ujar Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, tubuhnya mula lemah selepas beberapa hari melakonkan babak pertarungan intensif, namun tetap meneruskan penggambaran sebelum akhirnya mendapatkan rawatan.

“Filem ini memang banyak babak berlawan. Ada babak pengarah minta buat sekali take saja, jadi saya cuba beri sehabis baik. Saya selalu tanya dengan pengarah sama ada dia berpuas hati atau tidak.

Mungkin sebab dah berumur, selepas beberapa hari berlawan, sakit badan tak hilang-hilang.

“Saya dah makan ubat radang pun tak jalan. Habis shooting pagi tu, saya terus ke hospital,” katanya kepada HibGlam.

Selepas menjalani rawatan, bintang filem Sayu Yang Syukur itu berkata, doktor mengesahkan dirinya mengalami dehidrasi teruk sehingga memerlukan drip air bagi menstabilkan keadaan tubuh.

Meskipun disarankan berehat, bapa tiga anak itu tetap memilih kembali ke set demi memastikan produksi tidak terbeban dengan kelewatan jadual.

“Bila doktor buat pemeriksaan, darah tunjuk badan saya dah dehidrasi. Kena minum air banyak untuk buang toksin.

Empat beg drip masuk barulah stabil. Doktor nasihat saya cuti dua atau tiga hari untuk rehat. Saya beritahu doktor, malam itu juga kena keluar sebab masih ada penggambaran.

“Doktor kata saya gila, tapi bagi saya itu komitmen sebagai pelakon. Bila diberi kepercayaan dan peluang, kena korban apa pun. Kalau sakit, kita kuatkan juga,” kongsinya pada sidang media tayangan perdana filem Banduan, semalam.

Aaaron membintangi filem aksi Banduan, adaptasi blockbuster Tamil, Kaithi.

Versi Malaysia itu diarahkan Kroll Azry dan diterbitkan Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.

Selain Aaron, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon besar seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Zul Ariffin, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramli.

Banduan bakal menemui penonton seluruh negara di pawagam mulai 6 November. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok