Kerana sayangkan isteri, Kamal ‘juara’ di hati netizen

DRAMA krisis rumah tangga antara pasangan pelakon popular Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi tumpuan khalayak sejak dua minggu lalu.

Bermula dengan luahan penat menjaga anak seorang diri, sehinggalah mendakwa diperbodohkan Kamal kerana kesilapan tarikh nikah, akhirnya Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, memfailkan perceraian pada 1 Oktober lalu.

Gara-gara ketelanjurannya membogelkan kisah rumah tangga dalam sosial media, Uqasha teruk dihentam netizen. Enggan isu menjadi semakin panas, Uqasha tampil memohon maaf dan mengaku khilafnya yang terlalu ikut emosi.

Saya tidak patut cakap berkenaan perkahwinan saya secara umum, saya akui itu salah. Waktu itu saya tak fikir panjang kerana marah, sedih dan terlalu penat. Jadi, saya beri reaksi yang terlalu emosional.

“Apa pun semua itu sama sekali bukan alasan untuk saya berbuat demikian, saya minta maaf,” katanya dalam sebuah video. 

Kebiasaannya isu perceraian membabitkan selebriti, majoriti netizen akan berpihak kepada wanita, sangat jarang untuk berpihak kepada lelaki. Namun, berbeza situasi dengan kes Kamal dan Uqasha.

Selepas Kamal mengaku ada berlaku kekhilafan di pihaknya berkenaan kesalahan tarikh dalam sijil nikah, mengaku tidak berkasar dan tidak berlaku curang, malah secara terang-terangan menunjukkan masih sayangkan isterinya, secara automatik Kamal ‘menang’ di hati netizen.

Netizen bukanlah membuta tuli menyokong mana-mana pihak, sifirnya mudah, selepas penilaian dibuat Kamal dilihat lebih ‘bersih’ daripada sebarang kontroversi berbanding Uqasha.

Biarpun disekat daripada bertentang mata dengan isteri, Kamal berusaha untuk memujuk suri hatinya dengan menghadiahkan telekung. Kamal turut memohon netizen tidak mengecam isterinya selepas segala aib disebarkan.

Saya mohon pada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok pada isteri saya. Tolong jangan kecam dia.

“Dia penat kerja, dia tertekan dan saya faham benda itu. Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan pada dia sebab apa yang berlaku pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya dalam nada sebak sebaik keluar dari mahkamah.

Kamal turut mengakui segala kelemahan diri dan tidak menuding jari kepada sesiapa atas apa yang berlaku.

Melihat sikap Kamal yang dirasakan ikhlas mahu memujuk si isteri, netizen mudah cair, malah sanggup menjadi ‘orang tengah ’menyampaikan salam rindu Kamal kepada Uqasha.

“Kamal pesan, Kamal sayang Uqasha. Janganlah emosi sangat. Bersyukurlah, Uqasha sebab Kamal masih sayangkan awak dan mahu selamatkan rumah tangga itu,” kata netizen.

“Hai Uqasha sayang. Saya datang nak sampaikan pesan Kamal. Kamal sayang Uqasha. Semoga Allah campakkan semula rasa rindu dan kasih sayang di hati kalian berdua serta dikurniakan rumah tangga bahagia hingga ke jannah,” tulis seorang pengguna lain.

Jika sebelum ini ramai yang menghentam Uqasha dan memberi kata negatif, selepas melihat Kamal yang masih mahu menyelamatkan rumah tangganya, laman sosial dibanjiri dengan doa agar pasangan itu kembali bersatu.

Tambahan pula, cukup sayang sementelah pasangan yang berkahwin pada 5 November 2021 itu memiliki seorang cahaya mata perempuan yang masih kecil, Hawra Uqaira, yang berusia 18 bulan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok