Terkesan komen netizen antara alasan Linda Rafar keluar Elite

PENYANYI Linda Rafar mengakui terganggu secara emosi hingga membuat keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan Elite selepas menerima pelbagai komen negatif daripada netizen.

Linda atau nama penuhnya Azlinda Abd Rafar, 47, memaklumkan kecaman tersebut datang daripada segelintir pihak yang menyindir usia serta menasihatinya supaya berhenti menyanyi dan fokus kepada hal keagamaan.

“Assalamualaikum dan salam jumaat. Mohon maaf emosi saya tak berapa stabil sekarang.

“Baru hari ini boleh kongsi sikit apa yang berlaku. Sebenarnya terus-terang, saya memang sangat-sangat terkesan dengan komen-komen netizen yang tidak suka saya bersama Elite.

“Ada yang cakap dah tua-tua, duduklah rumah buat amal ibadah. Di sinilah saya mula berfikir yang bukan-bukan sampai tahap saya salahkan diri sendiri di atas semua komen-komen negatif,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Bagaimanapun Linda berkata, keputusan untuk menarik diri belum dimuktamadkan kerana ditentang oleh pihak pengurusan serta ahli kumpulan Elite sendiri.

“Jadi, saya baru berbincang dengan pihak pengurusan, Iman Tang dan ahli Elite.

“Mereka memang tidak setuju 100 peratus untuk saya keluar Elite dan saya masih terhutang persembahan yang besar, ‘endorsement’ dan sebagainya bersama Elite.

“Jadi, saya tak boleh pentingkan diri fikir masalah. Saya perlukan masa dan doa dari anda semua,” katanya lagi.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Syed Aiman itu berharap dapat diberikan ruang untuk menenangkan diri selain mengharapkan doa dari peminat.

“Moga ada jalan penyelesaian sebelum konsert GenKRU ini. Saya sayang Elite dan peminat yang dah lama bersama saya seawal saya belasan tahun.

“Dengan keterangan ini, semoga dapatlah saya berehat dan berfikir lagi. Tolong beri ruang untuk saya pulihkan semangat saya yang dah pergi jauh,” ujarnya.

Rabu lalu, Linda mengejutkan ramai pihak apabila secara tiba-tiba membuat keputusan nekad menarik diri daripada kumpulan Elite.

Sebelum ini, dia dikecam gara-gara busana dipakai pada majlis pengumuman konsert Elite yang membuatkannya hampir menarik diri daripada beraksi pada acara itu.

Akibat ‘serangan’ tersebut, Linda mendedahkan mengalami gangguan keresahan atau ‘anxiety’, selain hilang selera makan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok