“Tak ‘terbang’ dengan pujian, tak juga tumbang dengan kejian”

AHLI perniagaan popular di Kelantan Dr. Afif Mohd. Ridzwan memuji kesedapan ayam goreng Amir Raja Lawak yang disifatkannya setaraf jenama antarabangsa.

Dr. Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain dan mempunyai 16 cawangan klinik, melihat sikap tidak putus asa pelakon dan pelawak itu membolehkan dirinya pergi jauh dalam bisnes.

Amir yang sebelum ini menjalankan perniagaan air selama tujuh tahun, terus melebarkan sayap dengan bisnes ayam goreng secara francais di bawah jenama APFC di premisnya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kita Bharu, Kelantan.

Alhamdulillah, Allah bagi sedap. Rasanya seperti ayam goreng jenama antarabangsa. Malah lebih sedap dan tidak terlalu berminyak. Insya-Allah, kekalkan kualitinya agar sentiasa terjaga, Amir memang boleh pergi jauh dalam bisnes ini.

“Selama ini saya hanya dengar orang ramai memuji kesedapan ayam gorengnya, kali ini saya yang makan sendiri,” katanya yang berkunjung ke premis Amir baru-baru ini.

Turut hadir memberikan sokongan kepada Amir ialah pelakon dan aktivis masyarakat Lando Zawawi.

Dalam masa yang sama,  Afif yang sudah hampir 20 tahun dalam bidang perniagaan berharap Amir tidak mudah berpuas hati dengan pujian orang ramai, sebaliknya terus fokus dan memperbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa.

“Ketika bertemu dengannya, saya ada beri sedikit tip tentang bisnes kerana mahu lihat dia lebih maju.

“Dalam bisnes, antara perkara penting adalah perlu bijak menguruskannya. Misalnya Amir perlu membina team yang kuat.

“Ini kerana sebagai pemilik bisnes, kita tak boleh melakukan semuanya sendiri. Untuk terus berkembang dan melangkah ke peringkat seterusnya, perlu ada bantuan orang lain iaitu team.

“Team yang kuat adalah aset dan pemangkin kejayaan dalam mana-mana bisnes. Kalau tiada team, kita akan jadi letih, stres dan apa yang dilakukan kurang berkesan.

“Mungkin boleh lantik seseorang yang dipercayai untuk menguruskan bahagian stok, dapur atau lain-lain. Manakala pemilik bisnes boleh fokus kepada pemasaran.

“Kena berani untuk bergerak dan melepaskan sebahagian tugas agar sesuatu yang lebih besar akan datang, insya Allah,” katanya.

Tak ‘terbang’ pujian

Sementara itu, Amir yang sudah setahun mengusahakan bisnes ayam goreng,  mengakui dirinya tidak mudah berpuas hati apabila dipuji, sebaliknya mahu terus memperbaiki kelemahan yang ada.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Dr. Afif sudi singgah hari tu. Dari komen doktor, saya lihat dari sudut ‘rasa sedap dan berbaloi’.

Saya sebenarnya ajar diri supaya tak ‘terbang ‘ dengan pujian, dan tidak juga tumbang dengan kejian.

“Kalau cakap pasal rasa, sedap itu pun sebenarnya dari teknik ramuan perapan dan juga tepung yang dibancuh tidak terlebih atau terkurang mengikut proses R&D ( research and development) yang kami jalankan.

“Saya dalam perancangan untuk mempelbagaikan menu yang menepati cita rasa pelanggan. Bukan itu sahaja, saya nak cantikkan lagi persekitaran kedai serta bagi pelanggan lebih selesa,” ujarnya.

Selain sibuk menguruskan bisnes ayam goreng, Amir kini bergandingan dengan Jiggy sebagai hos online di YouTube Astro Gempak untuk rancangan Muzikal Lawak Superstar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok