‘Terima kasih Rossa, sudi telefon jelaskan isu Sinaran’

SUSULAN isu merakam semula lagu ikonik Sinaran tanpa sebarang rundingan, penyanyi Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apabila penyanyi tersohor Indonesia iaitu Datuk Seri Rossa tampil menghubunginya bagi menjernihkan keadaan.

Malah, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, turut menghargai keprihatinan dan sikap profesional Rossa seorang yang mudah memberi kerjasama dalam menangani masalah terbabit.

“Saya baru saja mendapat panggilan dari Rossa. Sebagai penyanyi, Oca sangat faham dan memberi kerjasama untuk isu ini.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan hormat kepada Rossa kerana mengambil berat serta sudi menelefon saya untuk menjelaskan tentang isu ini,” katanya dalam InstaStory.

Pelantun lagu Hanyalah Satu itu turut memaklumkan Rossa berharap pihaknya memperoleh hak yang sepatutnya bagi lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, bersama Allahyarham Adnan Abu Hassan.

“Dia juga berharap agar saya mendapat hak saya. Terima kasih Rossa,” tuturnya.

Sebelum ini, video teaser EP Asmara Dansa yang dimuat naik Rossa dalam media sosial baru-baru ini memperlihatkan versi baharu lagu Sinaran menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap tempatan, MK K-Clique.

Nora kemudian mempersoalkan tindakan Rossa yang merakam semula lagu ikonik Sinaran dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa tanpa sebarang rundingan rasmi dengan pewaris asal karya tersebut.

Dia juga mengingatkan isu keizinan dan pembayaran royalti tidak hanya membabitkan hak cipta semata-mata, sebaliknya menyentuh kebajikan serta masa depan waris karyawan yang telah pergi.

Untuk info, Lagu tersebut pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid sekitar era 1980-an dan dianggap antara karya paling berpengaruh hasil gandingan dua nama besar dalam dunia muzik tanah air, Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan.

Sekitar Julai lalu, Nora pernah menimbulkan isu serupa apabila mendedahkan bahawa royalti lagu berkenaan masih belum diterima sepenuhnya oleh pewaris, malah mendakwa jumlah yang pernah dibayar hanya sekitar RM60. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok