PEREKA fesyen duo terkenal negara, Rizman Ruzaini memilih untuk tidak mengulas dakwaan kononnya berhutang dengan pelakon Datin Intan Najuwa.
Menurut Rizman, aktres itu tidak menyebut nama sesiapa jadi tiada keperluan untuk mereka memberi sebarang komen mengenai perkara itu.
Sejujurnya sehingga kini kami tidak pernah mengeluarkan sebarang komen tentang isu ini. Kita pun tak tahu beliau (Intan) tujukan hantaran itu kepada siapa. Jadi saya tiada komen tentang isu ini,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian butik terbaru Rizman Ruzaini di Suria KLCC, semalam.
Ditanya sama ada perkara tersebut memberi kesan dan mencalarkan reputasi baik 20 tahun dalam industri fesyen, kata Rizman perkara sebegitu sudah menjadi lumrah.
“Sepanjang 20 tahun bergelar pereka fesyen, perkara seperti ini normal. Kadang-kadang orang suka berteka-teki individu yang dimaksudkan itu kita atau sebagainya. Seperti yang saya katakan, selagi dia tidak sebut nama kami, tiada sebarang komen.
Setakat ini bisnes kami masih berjalan seperti biasa. Kami mempunyai pelanggan yang sangat kukuh dan setia bersama kami. Fokus kami sekarang adalah terus memberikan yang terbaik buat pelanggan. Menjadi jenama yang sering diletakkan sebagai contoh bukanlah sesuatu yang mudah. Ia merupakan satu tanggungjawab besar,” jelasnya.
Namun kata Rizman, tidak logik seandainya pereka fesyen terkenal sepertinya tidak dilanda masalah dalam menerajui perniagaan yang kian berkembang.
“Dua dekad berada dalam industri fesyen, tidak logik sekiranya kami tidak mempunyai masalah. Ibarat hidup di alam fantasi. Sudah tentu kami juga ada turun naik dalam bidang perniagaan ibarat permainan Roller Coaster.
Selama 20 tahun ada sahaja kesilapan yang kami lakukan, antaranya tersalah membuat keputusan, orang ambil kesempatan dan macam-macam lagi.
“Belajar daripada pengalaman itu, kami lantik penasihat perniagaan, korporat dan peguam untuk mengendalikan setiap masalah dengan profesional.
Terdahulu pelakon Intan Najuwa mendedahkan ada pereka fesyen berhutang mencecah jutaan ringgit dengannya dan mengkhianati perjanjian dalam perniagaan.
Tindakannya yang tidak mendedahkan nama pereka fesyen itu, netizen membuat andaian sendiri dengan memetik beberapa nama termasuk Rizman Ruzaini. – HIBGLAM