AKTOR Indonesia, Jefri Nichol mengakui kehidupannya kini jauh lebih tenteram dan sederhana sejak menjalinkan hubungan cinta dengan pempengaruh Ameera Khan.
Ujar Jefri, 26, sejak kehadiran adik kepada selebriti Neelofa itu dalam hidupnya, dia mula mengenal makna ketenangan sebenar dan memilih untuk menikmati kehidupan dengan cara lebih santai.
Semenjak bercinta dengan Ameera, saya lebih suka duduk di rumah. Ramai tak percaya, tapi itu kenyataannya.
“Sisi lama saya yang gemar bermain permainan video kembali muncul.
“Dua tiga tahun lalu saya lebih banyak keluar malam, tapi sekarang saya rasa tiada sebab untuk teruskan gaya hidup begitu,” katanya dalam TikTok.
Pelakon filem Ali Topan itu turut mendedahkan, hubungan mereka semakin rapat dan tidak pernah renggang walau sehari pun.
Malah katanya, setiap hari, komunikasi menjadi rutin wajib yang tak pernah terlepas.
“Bangun tidur pun kami masih berbual di telefon.
Kalau talian terputus, kami terus telefon semula. Kami memang belum pernah tidak berhubung langsung, sentiasa on the phone,” ujarnya.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi bercampur-baur netizen, ada memuji, tidak kurang juga mengecam hubungan mereka yang dianggap terlalu berlebihan.
“Comelnya mereka berdua, macam drama cinta remaja. Nampak tulus dan ikhlas,” tulis seorang pengguna di media sosial.
“Asyik telefon setiap masa, tak bosan ke? Hidup bukan 24 jam dengan pasangan. Sudah sudahlah tu!,” tegur seorang netizen.
“Orang sibuk pasal Sumud, engkau galak bermaksiat. Kalau betul bahagia, tak perlu heboh satu dunia. Simpan sikit privasi tu,” tulis peminat.
Sebelum ini, hubungan rapat antara Jefri dan Ameera sering menjadi perhatian peminat hingga ada yang menggelarkan mereka pasangan paling romantik antara dua negara, Indonesia dan Malaysia.
Spekulasi mengenai hubungan mereka mula hangat diperkatakan sejak awal tahun ini apabila pasangan tersebut dilihat sering memuat naik foto bersama serta meninggalkan komen manja dalam media sosial masing-masing. — HIBGLAM