PELAKON Datin Sri Umie Aida mengambil keputusan untuk tidak hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan rakan selebriti yang juga sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) hari ini.
Umie atau Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, berkata, dia memilih untuk meraikan kepulangan selebriti terlibat seperti Zizi Kirana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Ardell Aryana dalam sebuah majlis ilmu yang akan dianjurkan tidak lama lagi.
Sekiranya mereka tiba di KLIA, biarlah keluarga yang menyambut ketibaan kerana momen itu lebih bermakna untuk mereka.
“Mungkin selepas beberapa hari, insya-Allah rakan-rakan yang lain akan meraikan mereka dalam sebuah majlis ilmu yang khusus,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah Umie, dia memilih majlis ilmu kerana mula mengenali selebriti-selebriti itu menerusi kelas agama dan usrah.
“Kalau orang tanya kenapa majlis ilmu, sebab saya mengenali mereka di situ.
Disebabkan itu juga, saya mahu sambut mereka dengan cara yang sama. Sebenarnya itulah kebahagiaan sebenar mereka,” ujarnya.
Menurut Umie, dia mengakui diselubungi rasa bimbang sepanjang tempoh pelayaran dan aktivis ditahan rejim Zionis.
“Saya memang tak boleh tidur mengenangkan keselamatan mereka kerana kita tahu rejim Zionis tiada belas kasihan.
Zionis melayan semua aktivis seperti penjenayah, sedangkan yang memiliki senjata dan menindas adalah mereka sendiri.
“Mengapa nak layan aktivis kita sebegitu, mereka tidak bersenjata dan hanya membawa bantuan makanan kepada penduduk Gaza,” jelasnya yang menyeru rakyat Malaysia agar tidak berhenti bersuara demi kebebasan Palestin.
Terdahulu, seramai 23 sukarelawan misi kemanusiaan GSF dilaporkan selamat dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis dan telah diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas.
Hari ini, kesemua aktivis dijangka tiba di Malaysia sekitar pukul 9.50 malam di KLIA. – HIBGLAM