Emosi anak terganggu, Aaron Aziz mahu saman pemfitnah

DEMI membersihkan nama, pelakon Datuk Aaron Aziz bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah sehingga mencetuskan kecaman netizen terhadapnya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, mengakui sedih dan terkilan apabila dakwaan dia tidak menyokong misi Global Sumud Flotilla (GSF) turut memberi kesan terhadap emosi anak-anaknya yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bismillah, Ya Allah permudahkan urusan kami, anak-anak saya di luar negara hamba tak dapat nak peluk dan tenangkan mereka dan hari jadi anak disambut dengan tangisan,” tulisnya dalam muat naik video di Instagram.

Menerusi hantaran sama, bapa kepada tiga anak itu turut berkongsi video yang menunjukkannya bersama isteri, Datin Diyana Halik berbincang dengan peguam mereka.

Menurut Aaron lagi, sebagai ketua keluarga dia akan memastikan sentiasa menjadi pelindung insan tersayang terutama permata hatinya.

Daddy (panggilan bapa) akan mempertahankan kalian semua hingga ke akhir hayat,” ujarnya.

Terdahulu, tular video suntingan dalam satu wawancara yang menunjukkan seolah-olah aktor asal Singapura itu mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan GSF.

Penyebaran klip terbabit mengakibatkan netizen salah faham, sekali gus mengakibatkannya berdepan kecaman.

Tidak berdiam diri, Aaron tampil menjejaskan situasi sebenar dengan meminta netizen menonton rakaman penuh temu bual berkenaan.

Menerusi rakaman wawancara yang dibuat sekitar dua minggu lalu, dia menjawab soalan dengan menyatakan selebriti tidak wajar dipaksa bersuara mengenai isu Gaza dalam akaun media sosial mereka demi memenuhi kehendak netizen.

Tanpa menyebut misi GSF, pelakon filem Sheriff Narko Integriti itu menegaskan tidak pernah mempertikai usaha mana-mana pihak mahupun individu lain untuk membantu rakyat Palestin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok