‘Tisu bahu Ardell koyak, badan lebam, muntah’

“ADA lagi kecederaan pada bahu Ardell! Bahu dia koyak! Allahuakbar! Apa ini.”

Demikian luahan pelakon Nadzmi Adhwa mengenai isterinya, Ardell Aryana yang ditumbuk dan rambut ditarik dengan kasar oleh tentera Israel semasa ditahan di penjara.

Menurut Nadzmi atau nama penuhnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 32, punca Ardell didera dengan teruk kerana siaran langsung TikToknya meraih jumlah tontonan paling tinggi sehingga mendapat perhatian meluas.

“Ardell antara yang mencuri tumpuan pada misi kali ini sebab itu dia kena (dera). Jumlah penonton dia paling tinggi.

“Semoga yang memperlakukan isteri aku, dia mati dalam keadaan paling teruk sekali. Amin.

“Rasa nak marah, nak mencarut banyak tapi dosa. Habis hilang pahala dan Ardell pun tak suka. Nak tumbuk muka ‘Issewel’ sekarang,” katanya dalam Threads.

Sementara itu, abang kepada Ardell yang dikenali sebagai Ayib memaklumkan adiknya kini menerima rawatan intensif termasuk ubat bagi mencairkan darah untuk tujuan pemeriksaan lanjut.

“Sekarang tengah masukkan air (drip) dengan ubat dalam badan dia untuk cairkan darah sebab doktor nak periksa darah dia.

“Doakan Ardell dalam keadaan stabil. Dia muntah-muntah, tisu bahu koyak dan lebam-lebam.

“Semalam kita tengok dia keluar lapangan terbang boleh senyum pandang kamera. Bila tak tengok kamera dia macam menahan sesuatu rupa-rupanya sakit.

“Kita pun dah gembira dapat tengok dia senyum tapi saya pun kena tipu dengan senyuman dia yang tengah menahan sakit. Dia tengah pendam sakit sebab tak nak kita semua risau,” ujarnya.

Semalam, Nadzmi memaklumkan isterinya dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan susulan selepas mengalami tekanan darah rendah dan kecederaan ketika berada dalam tahanan rejim Zionis.

Dia turut memaklumkan perkara tersebut berlaku disebabkan layanan kejam tentera Israel.

Menerusi laporan Buletin Utama, Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd. Moin mengesahkan Ardell dan seorang lagi aktivis iaitu Haikal Abdullah dizalimi tentera Zionis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok