AIR mata bercucuran, penyanyi Ziana Zain tidak dapat menahan sebak mengenangkan Konsert Empat pada 18 Oktober ini sebagai persembahan pertama yang bakal dilalui tanpa kehadiran bapa, Allahyarham Zain Abdullah.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 57, berkata, pemergian insan kesayangannya itu memberi kesan mendalam memandangkan arwah merupakan penasihat serta penyuntik semangat setiap kali konsert atau persembahan.
“Dulu abah (panggilan bapa) orang pertama yang tanya, ‘kau pakai baju apa? Konsert ini kau buat macam mana? Kau berdiri kat mana tadi? Kau keluar kat mana?’ Tapi sekarang tiada lagi pertanyaan itu.
“Abah juga selalu pesan, ‘berdiri kena ‘confident’ nak (panggilan anak). Bila kita berdiri confident, orang tengok pun rasa confident’.
“Dia pun sangat teliti. Selalu ingatkan saya tentang ‘key’ suara, mimik muka dan cara membawa diri di pentas. Nasihat dia masih terngiang-ngiang sampai sekarang,” katanya selepas pelancaran video muzik Jangan Henti di sini, hari ini.
Menurut anak sulung daripada lima bersaudara itu, selain menjadi penasihat, arwah juga merupakan penyokong utama dalam kerjaya seni suara adiknya, Anuar Zain.
“Abah satu-satunya yang paling kuat menyokong. Dia selalu tanya saya dan Anuar, macam mana karier kami, macam mana kehidupan kami. Kalau kami mengadu, dia faham sebab dia pun dulu seorang penyanyi,” katanya lagi.
Tambah Ziana, antara momen yang paling dirindui adalah apabila arwah bapanya sanggup menunggu sehingga lewat malam semata-mata ingin tahu persembahannya.
“Dulu, setiap kali saya habis show, abah takkan tidur. Dia tunggu sampai saya balik. Dia akan tanya, ‘Macam mana, nak? Okey tak?’
“Kadang-kadang sebelum konsert, dia call, ‘Abah doa, abah sembahyang hajat, semoga semuanya dipermudahkan’,” ujarnya.
Kini katanya, dia hanya mampu mengharapkan doa daripada ahli keluarga, anak-anak serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
Walau masih terasa kehilangan, Ziana berkata, dirinya percaya doa arwah bapanya terus menjadi kekuatan dan pelindung dalam setiap langkahnya.
“Ustaz pesan, jangan bimbang, apa yang mak ayah dah doakan untuk kita insya-Allah akan terus berjalan. Kata-kata itu buat saya tenang. Saya tahu abah sentiasa ‘ada’.
“Saya menangis bukan sebab tak reda, tapi kerana rindu. Sekarang saya kena kuat dan adik-beradik semua memang perlu terus kuat,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham yang kerap menemani Ziana pada awal pembabitannya dalam arena seni menghembuskan nafas terakhir berikutan kanser prostat pada 26 Ogos lalu.
Sementara itu, Konsert Empat mengabungkan empat penyanyi bersaudara iaitu Ziana dan Anuar, bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri serta suaminya, Syamel.
Persembahan berskala besar membabitkan empat beranak itu dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang pada 18 Oktober ini. – HIBGLAM