DUNIA hiburan tanah air tidak pernah kering dengan drama murahan. Kalau yang positif, jarang benar boleh dicanang, ibarat mencari setitis embun di padang gersang.
Sebaliknya, asyik-asyik cerita negatif yang menyambar perhatian, apatah lagi apabila masuk bab mahkamah, penuh liku dan plot twist membelit akal.
Minggu ini sahaja, deretan kes seakan-akan berebut tarikh. Nama besar seperti Nora Ariffin, Hafiz Roshdi dan Along Cham berderet di mahkamah.
Begitu pun, Termometer kali ini sengaja melencong ke arah pelawak Along Cham yang kesnya bagai sinetron ratusan episod, panjang berjela, jenuh ditonton, sampai khalayak pun naik muak.
Selepas hampir setahun episod naik turun mahkamah, rumah tangga pemilik nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad bersama isterinya, Afreena Suhaimi, akhirnya menemui penamat.
Lafaz talak satu bergema di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, disahkan sendiri oleh Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.
Belajarlah bersabar dalam rumah tangga kerana itu tempat ujian. Sama seperti nikah, cerai dan rujuk, semua perlu diajukan kepada pihak berkenaan,” titip hakim, seperti menitip pengajaran buat khalayak yang menonton drama sendu pasangan itu.
Bagi pelakon Adnan Sempit itu, ada kelegaan walaupun payah untuk diungkap, namun mengakui dia gagal sebagai suami.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula.
“Tak sangka jadi macam ini. Hakikatnya, situasi sebegini berbalik kepada kekurangan saya sendiri,” luahnya menelan pahit realiti yang sudah terbentang.
Afreena pula mahu tampil menjernihkan suasana, langsung tidak mahu menanggung dendam.
“Saya tidak simpan rasa dendam. Tak ada masalah nak berkawan, sebab bagi saya tak perlu benci-membenci.
“Malah saya tak pernah membenci Along. Saya pun dah lama ‘move on’. Kemelut ini dah makan setahun lebih, jadi saya doakan yang terbaik untuk dia, dari soal kerjaya sampai kehidupan peribadi,” katanya dengan tangan berbalut seperti mengusung luka bukan sekadar di tubuh, tetapi di jiwa.
Lalu bertepuk tanganlah khalayak, lega mendengar episod duka itu sudah bernoktah. Namun, bak kata pepatah, hujan reda bukan bermakna langit kembali cerah.
Rupa-rupanya, selepas lafaz cerai, Along masih ada ‘episod baharu’ mahu diputar. Dia mempertimbangkan laporan polis terhadap Afreena, kononnya berhubung kehilangan wang peribadi.
Selepas ditahan di Penjara Sungai Buloh, saya buat laporan kecurian duit hampir RM12,000. Tapi kerana status kami masih suami isteri, kes diklasifikasikan NFA.
“Memandangkan sebenarnya talak sudah jatuh sebelum saya ditahan, mungkin saya boleh buka semula kes ini. Harap boleh dapat balik hak saya,” tegasnya.
Bukan sekali dua Afreena dituduh, malah awal tahun ini, Along mendakwa isterinya menyeleweng sumbangan mencecah RM100,000 yang kononnya untuk membantunya semasa ditahan atas dakwaan dadah.
Afreena pula balas dengan laporan polis, mendakwa menjadi mangsa penipuan wanita lain. Plot semakin berselirat, makin lama makin sukar ditelan.
Khalayak yang awalnya simpati, kini mula lelah memohon agar semua drama basi ini dihentikan kerana hakikatnya satu pun tidak mendatangkan faedah.
Persoalan timbul, kalau sudah sah berpisah, mengapa masih mencari ruang untuk menyalakan bara?
Ketika artis lain sibuk berjuang menabur bakti, contohnya Datin Seri Nur Heliza Helmi, Zizi Kirana dan delegasi Global Flotilla Sumud ke Gaza menghantar bantuan kemanusiaan, Along pula masih terbelit episod rumah tangga dan laporan polis tiada kesudahan.
Apa nak dikata? Dalam dunia hiburan, wujud bintang memilih menjadi wira, namun ada pula yang memilih untuk terus hanyut dalam melodrama ciptaan sendiri.