NORYN Aziz memang ‘masterclass’. Itu yang terdetik di fikiran penulis usai menonton showcase This Is Noryn Aziz di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dibahagikan kepada beberapa segmen dan berdurasi sekitar dua jam, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz membuktikan dirinya penghibur sejati yang bukan sahaja hebat dari sudut vokal, bahkan elemen penting lain termasuk komunikasi dengan penonton, energi top-tier dan rendisi luar biasa.
Membuka gelanggang pentas dengan dendangan lagu Feeling Good (Nina Simone), 48, Noryn pantas membuktikan tiada tempat lain beliau selayakkan berdiri melainkan pentas yang mana spotlight tepat dipancarkan ke arahnya.
Tidak menunggu lama, Noryn mengalunkan lagu Cerita Cinta, Alam Maya, Make It On My Own, Kembalikan, Autumn Leaves, Jauh-Jauh dan Kertas yang melazimkan namanya di persada seni tanah air.
Popular dengan jalur muzik jazz, permainan muzik mereka yang terlibat di atas pentas bergulir sama tinggi, sama rendah dengan kehebatan vokal Noryn yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

NORYN berjaya memukau kira-kira 500 peminat yang hadir menyaksikan showcase This Is Noryn Aziz yang berlangsung baru-baru ini.
Noryn turut membawa emosi penonton menyusuri perjalanan ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza apabila menghadiahkan segmen khas dengan menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan dalam pertandingan berkenaan.
Antara lagu yang dialunkan termasuklah Fantasi Realiti, Trauma, Akhirnya Kini Pasti selain Where Is The Love dan I’m Every Woman yang disampaikan secara duet bersama Dina Nadzir, yang juga sebagai pengacara malam itu.
Kehendak, ‘showgirl’
Kemampuan Noryn menghiburkan kira-kira 500 penonton dengan aksi bertenaga dan vokal luar biasa membentuk bayangan seorang ‘showgirl’ yang mencuri pandangan sejak detik pertama.
Itu turut diakui Noryn sendiri, pengalaman menyanyi di banyak tempat sejak berpuluh tahun membentuk jiwa penghiburnya sehingga ke hari ini.
“Sejak mula melangkah ke pentas, saya sudah membawa jiwa seorang ‘showgirl’. Saya lebih suka membuat persembahan secara langsung dan mempelbagaikan vokal dalam nyanyian saya,” katanya kepada media usai persembahan berakhir.
Noryn turut menyanyikan dua single terbaharunya iaitu Kaki Kiriku dan Jangan Bukan Bukan.

BUKAN sahaja memiliki vokal hebat, Noryn memiliki aura luar biasa dan bijak berkomunikasi.
“Nak tak nak, saya kena juga cuba menangi hati budak-budak sekarang yang kebanyakan mereka bertumpu di TikTok dan sebagainya.
“Saya sedar yang pasaran muzik jazz di Malaysia tidak besar, namun saya percaya, genre ini ada pengikutnya yang tersendiri. Jadi, saya hadiahkan single Kaki Kiriku dengan harapan diterima baik oleh semua orang,” katanya.
Tergelincir tapi pro
Lagu ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng dengan lirik oleh Reza Salleh itu bukan sahaja menjadi taruhan terbaharu, malah membawa misi memperkasakan bahasa dan budaya melalui muzik.
Namun, momen tidak terjangka berlaku apabila Noryn tergelincir di atas pentas ketika mahu menyampaikan single baharunya itu.
Situasi itu bagaimanapun berjaya dikawal dengan penuh profesional dan tenang sekali gus membuktikan, Noryn sememangnya seorang ‘showgirl’.
Pantas bertindak dan apapun yang berlaku di atas pentas, berpegang teguh dirinya pada terma dan sifir seni, ‘the show must go on’.
“Sebenarnya, bila terjatuh tu saya risau juga. Sebagai penyanyi, kalau boleh kita mahu semuanya kelihatan sempurna. Ini bukan kali pertama saya terjatuh ketika membuat persembahan.
“Tetapi daripada pengalaman lalu, saya belajar untuk kekal profesional setiap kali berdepan situasi sebegini,” ungkapnya lagi. – HIBGLAM