Konflik dengan Syada Amzah, influencer rugi puluhan ribu ringgit

HANYA disebabkan isu peribadi, pempengaruh Elcah mengakui hubungan persahabatannnya dengan penyanyi Syada Amzah kini dingin.

Menurut Elcah atau Nuraien Adilla Hasha Akhbar, 29, masalah terbabit berpunca apabila adik kepada penyanyi Shila Amzah itu didakwa lebih memilih pihak lain yang dikenali sebagai SA meskipun mereka sudah lama berkawan.

“Sebenarnya apa yang berlaku antara saya dan ‘best friend’ (Syada) saya tu, ada salah faham kerana dua-dua pihak ini adalah kawan dia tetapi dia kenal saya lebih lama.

“Bila saya bercerita dengan dia, tapi dia berpihak kepada kawan dia yang lagi satu (orang ketiga).

“Saya macam terasalah, dia kata nak bagi saya bukti (kecurangan suami) tetapi dia nak saya selesaikan masalah rumah tangga dengan cara bercerai,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Dewi Remaja 2025, semalam.

Tambahnya, kontroversi tersebut turut memberi kesan kepada kesihatan mentalnya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama beberapa hari.

“Apa yang berlaku ini juga turut menjejaskan kesihatan mental saya sehingga menerima rawatan di hospital. Doktor kata ada masalah di kepala saya.

Saya diwadkan selama tiga hari. Saya agak tertekan sewaktu kontroversi ni berlaku pada waktu itu,” ujarnya lagi.

Selain itu, kerjayanya juga terjejas apabila terpaksa membatalkan beberapa komitmen kerja sekali gus menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

“Disebabkan kontroversi ini membabitkan nama-nama besar, tidak dinafikan kerja-kerja saya terganggu dan terpaksa batalkan komitmen kerja yang saya ada.

“Kalau ikutkan kerja dengan kawan-kawan pun terjejas kerana mereka ingatkan saya ini pembawa masalah tetapi sebenarnya tak ada isu pun.

“Anggaran kerugian yang saya tanggung dalam sekitar puluhan ribu ringgit juga. Tak mengapalah saya tak mahu besarkan cerita ini cuma saya harap kawan-kawan saya tahu cerita sebenar dan kami boleh bekerjasama lagi selepas ini,” jelasnya.

Buat masa ini, Elcah memilih untuk menjauhkan diri daripada mana-mana individu yang dirasakan memberi kesan negatif terhadap kehidupannya.

“Setakat ini saya memang tidak mahu berkawan dengan mana-mana pihak yang boleh memberi impak dalam kehidupan saya.

“Saya memang ‘cut off’ dan tidak menghubungi mereka lagi. Bila dah menginjak usia 30 tahun ini, sekarang saya baru dapat melihat luar dalam sahabat saya itu.

“Apa yang saya boleh nasihatkan, seberapa lama pun anda berkawan paling penting adalah percaya kepada keluarga sendiri,” katanya.

Sebelum ini, suami kepada Elcah iaitu Afi Hamri atau Hafizuddin Hamri mendakwa Syada menghasut isterinya untuk bercerai selepas lelaki itu didakwa berlaku curang.

Elcah bagaimanapun mempertahankan sahabat baiknya itu dan memberitahu Syada tidak terkait dalam masalah rumah tangga mereka sebaliknya menjadi orang tengah dalam pergaduhan bersama individu digelar sebagai SA.

Pun begitu, pada Ogos lalu, Elcah hilang sabar dan memberi amaran terakhir kepada Syada yang dikatakan membuat panggilan kepda rakan-rakannya untuk menyebarkan fitnah mengenai keluarganya. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok