IBARAT hanya selangkah lagi memasuki perairan Gaza, pelakon Ardell Aryana mendedahkan berkemungkinan besar tidak dapat meneruskan misi kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla (GSF) berikutan masalah kesihatan.
Kata Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, dia masih mengharapkan doa orang ramai, selain meminta masyarakat terus memberikan sokongan terhadap sukarelawan lain untuk kental menghadapi cabaran.
“Mungkin saya tak sampai ke sana, walaupun ambil masa lebih kurang enam hari lagi. Apa pun kita serahkan kepada perancangan Allah.
“Saya harap ramai dapat mendoakan saya, kalau Allah kata kesihatan saya memang tidak mengizinkan, harap anda semua terus memberi sokongan kepada kawan saya yang lain,” katanya dalam siaran langsung yang kemudian dikongsi pengguna laman sosial lain.
Pada masa sama, Ardell yang meminta maaf sambil menitiskan air mata turut memohon semua pihak agar tidak berhenti menyebarkan kebenaran mengenai situasi genting dilalui rakyat Palestin dan bagi sokongan terhadap misi kemanusiaan tersebut.
“Jangan berhenti bersuara tentang saudara kita di Gaza dan jangan berhenti bersuara tentang misi keamanan tanpa senjata, hanya bantuan ubat-ubatan dan makanan.
“Kita manusia hanya mampu merancang, Allah sahaja sebaik-baik perancang. Doakan yang terbaik untuk saya dan jangan berhenti daripada sokong perjuangan misi.
“Terima kasih juga yang infak untuk misi ke Gaza ini, kami akan salurkan terus melalui darat dan lautan. Kita tidak akan berhenti sampai setakat ini sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, suami Ardell juga pelakon Nadzmi Adhwa memaklumkan isterinya dalam keadaan tidak sihat, malah terpaksa menjalani proses memasukkan air dalam badan.
Ibu kepada dua anak itu difahamkan menaiki kapal layar paling kecil, Inana dalam misi kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan.
Selain Ardell, GSF turut disertai 34 aktivis Malaysia antaranya pengamal media Zainal Rashid Ahmad, personaliti media sosial, Farah Lee serta dua penyanyi, Zizi Kirana dan Heliza Helmi.
Konvoi membabitkan 53 kapal dari 45 negara itu yang kini di berada zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dilaporkan turut berdepan gangguan dron dipercayai milik Israel. – HIBGLAM