Siti Nurhaliza, Aliff Syukri penyumbang zakat tertinggi Selangor

 

SITI Nurhaliza antara penyumbang zakat teringgi di Selangor menerusi syarikat miliknya, CTDK Holdings Sdn. Bhd.

DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Aliff Syukri tersenarai sebagai antara penyumbang terbesar zakat di negeri Selangor.

Kedua-dua figura terkenal itu menyumbang menerusi syarikat korporat mereka iaitu CTDK Holdings Sdn. Bhd dan D’Herbs Holding Sdn.Bhd.

Siti sewaktu ditemui pada acara Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor bersama Yayasan Raja Muda Selangor berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli perniagaan beragama Islam membayar zakat di negeri Selangor setiap tahun.

Membayar zakat adalah wajib bagi yang beragama Islam. Memang saya akan pastikan bila sampai tempoh, saya akan bayar zakat perniagaan. Memang saya tak pernah culas sejak saya tubuhkan syarikat malah daripada sebelum saya berkahwin lagi,” katanya.

Tambah Biduanita Negara itu lagi, dia berasa tenang setiap kali membayar zakat.

“Setiap kali saya bayar zakat hati saya rasa tenang. Bagi yang belum memulakan membayar zakat atau pernah culas kita kena ingat setiap wang yang kita perolehi, ada bahagian orang lain juga.

Kita perlu bayar zakat sebagai salah satu cara untuk mensucikan harta benda kita dan melancarkan perniagaan kita supaya pendapatan kita lebih berlipat ganda,” jelasnya.

Sementara itu, mewakili Aliff Syukri,  anak sulungnya, Ammar Ahyan, dia gembira apabila syarikat bapanya masih menjadi penyumbang tertinggi zakat di negeri Selangor.

“Sebagai anak sudah tentu saya gembira. dan bangga dengan pencapaian ayah saya serta seluruh kaki tangan syarikat D’Herbs termasuklah ibu saya sendiri, Datin Sri Nurshahida.

Saya harap selepas ini kita boleh menyumbang lagi kerana matlamat kita adalah untuk membantu orang seramai yang mungkin

“Insya-Allah tahun depan saya pula yang akan mula membayar zakat. Tahun ini tak boleh kerana masih belum cukup umur,” kongsinya.

Selain CTDK Holdings Sdn. Bhd dan D’Herbs Holding Sdn. Bhd, antara penyumbang terbesar lain adalah Bawal Sdn Bhd dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok