TIDAK pernah memandang ringan setiap watak mencabar, pelakon Ellie Suriaty mengakui hatinya tidak putus berdoa sebelum melangkah ke set penggambaran, apatah lagi ketika menggalas amanah membawa karakter ketua ajaran sesat dalam drama terbaharu, Ibu Aji.
Menurut Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 54, rasa bimbang tersasar akidah membuatkan dirinya sentiasa berdoa selain memohon keampunan agar perjalanan lakonannya sentiasa dipermudah.
“Sebelum masuk set penggambaran, saya akan berdoa dan minta ampun kepada Allah berulang kali. Saya juga minta kelancaran kata-kata, pemikiran serta penyampaian.
Kalau tak berdoa, akan jadi macam tersekat dan tak lepas untuk keluarkan dialog.
“Meskipun melakonkan watak ketua ajaran sesat, Allah tahu niat sebenar saya hanya mahu menjadi cermin supaya orang ramai tidak terjebak dengan penipuan,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16, (FFM16) itu, doa yang diamalkan kadangkala begitu panjang sehingga berlanjutan sepanjang perjalanan dari rumah hingga ke lokasi penggambaran.
Doa bermula ketika masuk dalam kereta. Memang tadah tangan sepanjang perjalanan, saya berdoa tanpa bercakap.
“Kalau tidak, macam saya cakap, rasa bersalah, rasa tersekat dan lakonan jadi kaku. Doa adalah benteng saya,” jelasnya pada sidang media drama Ibu Aji, di sini, malam tadi.
Paling utama kata ibu dua anak itu, dia bersedia berdepan kritikan selepas naskhah tersebut ditayangkan namun menegaskan tanggungjawab sebagai pelakon lebih besar daripada sekadar memikirkan kecaman netizen.
Saya tahu cerita ini akan kena kecam tapi saya ini pelakon, kecaman memang tidak boleh dielak. Penonton perlu lihat dan nilai dari sudut yang lebih luas.
“Sebagai seorang pelakon, bila kita bawa watak antagonis seperti ini, itu cerminan kepada apa yang sebenarnya berlaku di luar sana.
“Saya beri contoh, ajaran sesat yang pernah dibawa Ayah Pin. Pengikutnya terdiri daripada golongan yang profesional dan pelbagai lapisan umur. Mereka tahu tentang agama tetapi bagaimana mereka ini boleh terpesong?,” ujarnya.
Drama Ibu Aji arahan Amor Rizan itu turut menampilkan Fazlina Ahmad Daud, Irsyadi Noor dan boleh ditonton secara eksklusif menerusi platform Karya Reels yang dilancarkan semalam. – HIBGLAM