BAPA kepada penyanyi cilik, Amad dan Umairah iaitu Saiful Anuar menafikan dakwaan kononnya menuduh bekas isteri, Saerah mengerah anak-anak mereka bekerja.
Menurut Saiful, hantaran yang dibuat dalam Instagram yang kini telah dipadam ditujukan kepada individu yang mengawasi anak-anaknya bukan kepada Saerah.
Saya tak salahkan Saerah. Saya hargai dia menjaga anak-anak saya. Saya tiada masalah dengan Saerah. Tetapi ada individu yang mengawal sehingga hubungan saya dengan Amad menjadi renggang. Nak jumpa anak pun terbatas
“Jadi saya sekadar meluahkan rasa marah. Bukan saya marah pada Saerah. Saya tahu dia macam mana sebab saya pernah hidup bersama dengannya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Tambah Saiful lagi, apa yang menjadi kegusarannya adalah dia tidak dapat sebarang informasi tentang aktiviti anak-anaknya dan hanya mengetahui perkembangan mereka menerusi media sosial.
“Saya bimbangkan Amad. Dia masih bersekolah. Belum masanya untuk dia betul-betul mencari rezeki. Memang tidak dapat dinafikan rezeki Amad sekarang mencurah-curah dan sedang popular.
Tetapi kalau boleh janganlah biar dia bekerja waktu persekolahan. Kena ada jadual yang betul supaya persekolahannya tidak terganggu. Janganlah dikerah sampai lembik budak tu. Risau saya.
“Saya tidak pernah hamak atau hadap duit anak-anak saya. Saya cuma ingin tahu apa aktiviti mereka. Ke mana pergi saluran duit-duit mereka. Sebagai bapa saya berhak untuk tahu. Bukannya saya nak guna.
“Saya menjaga ketiga-tiga anak saya sejak dari besar tapak tangan. Bila mereka dah umur lapan ke sembilan tahun macam tu baru mereka pindah tinggal bersama Saerah,” ujarnya.
Saiful turut menyangkal dakwaan netizen kononnya dia mahu menumpang kesenangan anak-anaknya.
“Kalau betullah saya nak menumpang, mesti saya akan kena lagi teruk. Sebagai seorang bapa saya tidak mengharapkan apa-apa daripada anak saya.
Saya cuma mahu dia selamat. Saya mahu perjalanan hidup dia teratur. Pelajaran sangat penting. Kita tak tahu macam mana masa depan dalam bidang seni. Andai satu hari nanti, rezeki dalam bidang muzik sudah tiada, sekurang-kurangnya dia ada pelajaran.
“Amad pula merupakan pelajar di sekolah sukan dan dia aktif bermain takraw dan dia merupakan pemain terbaik. Ini membuatkan saya lagi kecewa. Kerana dia mungkin berpeluang untuk mewakili Malaysia satu hari nanti,’ kongsinya.
Ditanya sama ada dia akan hadir di konsert separuh akhir Talk To My Manager Ahad ini, kata Saiful perkara itu belum boleh dipastikan lagi.
Setiap minggu saya hadir kecuali Ahad lepas. Saya pun belum pasti sama ada akan ke konsert minggu ni atau tidak kerana kalau boleh saya ingin elak sebarang konflik. Tetapi sebagai bapa sudah tentu saya ingin lihat anak kesayangan saya melangkah ke peringkat akhir,” jelasnya.
Terdahulu perkongsian Saiful dalam Instagram Sabtu lalu menjadi perhatian ramai selepas mendakwa dia tidak dapat bertemu anaknya ketika membuat persembahan di Kuantan. – HIBGLAM