Tak lut kecaman, Dahlia buang foto bertudung pula

KALIS kecaman, penyanyi baharu Dahlia Johan yang tampil tanpa berhijab pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) kini memadam semua gambar lama ketika bertudung dalam Instagram.

Daripada semakan, hanya tinggal satu hantaran yang menunjukkannya menghadiri majlis pengiktirafan AIM24 di Arena Stars, Genting Highlands, pada 13 September lalu.

Selain foto solo, perkongsian berkenaan turut menunjukkan momen manis di pusat peranginan tanah tinggi itu bersama keluarga termasuk ibunya juga penyanyi, Datuk Nora Ariffin.

Tindakan gadis berusia 21 tahun itu nyata lebih banyak mengundang reaksi negatif dalam kalangan pengikutnya yang meluahkan kekecewaan.

Rata-rata menganggap tindakan penyanyi yang kini menggunakan nama pentas Dahlia sebagai menongkah arus dan pelik.

Tidak kurang juga yang mengutuk dan menyatakan penampilan terbaru selepas bertahun-tahun bertudung seperti patung filem seram, Annabelle.

“Sebenarnya orang tak kisah pun dia tak bertudung. Tapi kenyataan merapu buat orang marah,” tulis seorang netizen.

“Orang buang gambar ‘freehair’ sebab dah bertudung, kau buang gambar bertudung sebab ‘freehair’,” kata pengikut lain.

Terdahulu, anak bongsu daripada empat bersaudara itu menyatakan keputusan tidak lagi bertudung selepas 15 tahun disebabkan mahu melalui perjalanan baharu.

Bahkan dia juga mengakui keputusan tersebut turut mendapat sokongan penuh keluarga termasuk ibu serta abangnya.

Pada pendedahan sama, Dahlia turut mengumumkan mahu dikenali dengan panggilan baharu kerana penggunaan nama Putri dianggap sinonim dengan imej tertentu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok