PENGACARA dan pelakon Raja Azura menegaskan tiada niat bermusuh dengan bekas suami, Adzmin Osman susulan tindakannya memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.
Menurut Raja Azura, 53, dia juga mendidik anak-anaknya untuk tidak membenci bapa mereka meski sudah 15 tahun tidak berjumpa.
“Anak-anak tidak membenci dan menghormati bapa mereka kerana saya didik mereka sebegitu. Apa sahaja yang berlaku, jangan benci dan terima ketentuan Allah SWT dengan baik serta tenang.
Kalau dah kahwin lain atau ada anak lain sekalipun, maklumkanlah. Sebelum ini pun saya tak pernah nak buka aib namun mungkin dia segan atau malu.
“Sekarang saya bukan buka aib tetapi hanya menuntut hak. Jangan malu atau segan sebab saya tetap Raja Azura seperti yang dulu.”
Mengulas mengenai pujian ramai tentang ketabahannya membesarkan tiga anak sebagai ibu tunggal, Raja Azura berkata keikhlasan kunci utama hidupnya sejak 15 tahun lalu.
“Dalam hidup ini kena ikhlas dan barulah Allah SWT reda.
Ikhlas bukan untuk jaga anak-anak semata-mata tetapi termasuk dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang ibu tunggal.
“Paling penting tidak membenci bekas pasangan walaupun sudah berlaku macam-macam kepada kita, buang semua yang negatif dan jangan sesekali membuka aib sebab itu paling tidak baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Raja Azura sempat berkongsi beberapa tip membesar dan mendidik anak-anak seperti sentiasa taat dengan perintah Allah.
Tuturnya, selain sebagai ibu, dia juga memainkan peranan menjadi sahabat baik kepada tiga anaknya.
“Tip membesarkan anak-anak ialah selalu didik mereka supaya sentiasa mengikut perintah Allah.
Kedua jadikan anak sebagai kawan baik, selalu mendekati mereka walau sibuk macam mana sekali pun serta jangan salah guna kuasa veto sebagai seorang ibu. Hanya gunakan pada waktu yang penting sahaja.
“Contohnya, saya larang mereka untuk memiliki pasangan selagi belum tiba masa yang sesuai,” ujarnya lagi.
Hari ini, Raja Azura yang diwakili peguam syarie, Mohammad Amirul Hanizan memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya terhadap Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.
Tegasnya, dia memfailkan permohonan tuntutan nafkah tersebut demi mendapatkan hak tiga anaknya.
Terdahulu, Raja Azura bercerai dengan Adzmin pada 28 September 2010.
Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin kini berusia 20 tahun. – HIBGLAM