Penyanyi Thailand, Indonesia hangatkan kemuncak AIM24

MASIH menampilkan pasangan serasi Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sebagai penyampai, Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang menuju kemuncak di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September (Sabtu) nanti menjanjikan sebuah acara pengiktirafan penuh gilang-gemilang.

Tidak hanya menampilkan para pemenang paling layak, acara bertemakan Kemuncak Segala-galanya, yang dikuasakan Samsung Galaxy A56 dan A36 5G tersebut juga bakal dihangatkan kemunculan bintang-bintang tersohor mengisi slot persembahan dan penyampaian trofi.

Lebih menarik, tahun ini AIM turut diserikan kehadiran penghibur serantau, dari Indonesia, Thailand dan Singapura. Menjadi tumpuan pastinya, Dolla yang akan digabungkan dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii.

Pengumuman dibuat Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim dalam sidang media bertempat di Premiera Hotel Kuala Lumpur.

AIM24 turut menampilkan Ernie Zakri yang telah mencipta fenomena baharu di Indonesia apabila bergabung bakat dengan komposer lagu Masing-Masing, Ade Govinda serta Anggi Marito. Mereka juga finalis bagi kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik.

BARISAN karyawan seni yang bakal berentap dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 yang bakal berlangsung 13 September ini.

Seiring malam yang bakal dikenang, kehadiran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam satu segmen persembahan istimewa dan kumpulan Exists juga dijangka memaknakan lagi penganjuran AIM kali ini.

Artis Baharu

AIM24 juga tidak pernah meminggirkan bakat artis-artis baharu dan kali ini semua finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Eric Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone akan turut menjanjikan aksi hebat.

Apa yang menarik, pemenang 11 kategori AIM24 cukup bertuah kerana ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) menanti mereka.

Pemenang kategori Album Terbaik akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu.
AIM24 menerima 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Penjurian diadili pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik dan perunding imej. Penjurian dikemudikan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Haji Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.

AIM24 mempertandingkan 30 kategori secara keseluruhan termasuk empat kategori terbaharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Enam kategori akan diumumkan melalui acara Pra-Anugerah pada 12 September 2025, sementara 24 kategori utama akan diumumkan pada malam kemuncak 13 September secara langsung menerusi TV2 dan portal RTMKlik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok