ENGGAN terus dipergunakan, penyanyi Noryn Aziz memberi peringatan kepada pencipta kandungan di YouTube yang menghasilkan konten palsu berkaitan dirinya agar memadamkan video dimuat naik dengan segera.
Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz, 48, berkata, pihaknya sudah menghubungi pengendali akaun tersebut sebaik dimaklumkan mengenai kewujudan video terbabit daripada peminat, namun belum ada sebarang maklum balas.
“Saya tahu ada video kononnya menyelongkar siapa sebenarnya Noryn Aziz tetapi fakta disebut dalam paparan mereka palsu, merepek dan bukan daripada sumber sahih.
Disebabkan keliru dan mahukan kepastian, ada peminat berikan pautan YouTube berkenaan kepada saya. Info memang tak tepat, jadi boleh cetuskan salah faham pada orang yang tak kenal saya secara dekat.
“Saya pun dah minta secara baik agar video itu dibuang menerusi DM (mesej langsung) tapi macam tiada respons. Tolong padam, jangan kerana kita nampak diam pihak tidak bertanggungjawab ini ambil kesempatan,” katanya ketika pelancaran single baharu, Kaki Kiriku, semalam.
Penghibur juga guru vokal itu juga mendakwa tindakan pihak berkenaan turut menyedarkannya supaya lebih bertegas dengan pihak yang membuat konten berunsur fitnah.
“Selama ini saya cuma dengar dan sesekali terbaca berita palsu berkenaan rakan seperjuangan lain, tetapi kali ini saya pula yang jadi mangsa.
Pernah juga saya dikatakan akan muncul di program podcast, itu pun tak betul. Benda begini juga boleh buat orang salah faham dan ingat kita yang tak nak muncul.
“Bukan apa, kalau perkara mengarut tersebar membabitkan hal sensitif tentu sahaja boleh buat keluarga risau. Saya ada keluarga, suami dan anak. Berpada-pada kalau nak buat konten,” ujarnya.
Mengenai Kaki Kiriku pula, Noryn mengakui karya ciptaan Reza Salleh dan Hin Ee Jeng mempunyai keunikan tersendiri apabila mengabungkan jazz dan joget revival bersama lirik sarat dengan penggunaan ‘tougue twister’ atau permainan lidah Melayu.
“Lagu ini sekali dengar saya sudah tertarik malah pada masa sama kami ingin mengangkat keindahan lenggok bahasa Melayu yang diadun dengan elemen jazz kontemporari dan Parisian jazz.
Dek kerana itu video muzik Kaki Kiriku di tangan Patt Ibrahim selaku Pengarah Kreatif sarat elemen budaya termasuk dengan penggunaan kebaya serta batik sebagai persalinan, selain latar lokasi penggambaran.
“Pastinya bingkisan terbaru ini akan dipersembahkan pada showcase This Is Noryn Aziz di Auditorium DBKL pada 19 September depan,” katanya. – HIBGLAM