Pelakon Eyra Hazali mengakui terpaksa membawa tiga anak lelakinya bersama ke tandas wanita sekiranya tidak ditemani suami ketika keluar ke tempat awam.
Bukan disengajakan, Eyra atau Hazira Qasdina Hazali, 26, berkata, tindakannya tersebut disebabkan bimbang sekiranya ditinggalkan bersendirian tanpa ditemani orang dewasa ditambah pula berjauhan dengan suaminya yang kini berada di Sarawak.
“Saya mempunyai tiga orang anak lelaki berusia lima, tiga dan setahun serta kini berjauhan dengan suami.
Mahu atau tidak, setiap kali keluar ke pusat beli-belah atau ke mana-mana tanpa suami, saya memang perlu membawa mereka ke tandas sekali,” katanya dalam Threads.
Tambah Eyra, meski memasuki tandas wanita, dia sudah mendidik anak-anak lelakinya agar menutup mata kerana menyedari terdapat individu lain kurang senang dengan kehadiran jantina berbeza.
“Namun, saya sudah ajar anak-anak, apabila masuk ke tandas wanita, mereka perlu menutup mata atau menghadap saya sambil memeluk.
“Kerana saya faham ada orang yang mungkin berasa tidak selesa walaupun anak-anak itu masih kecil,” ujarnya.
Prihatin dengan situasi sebegitu, Eyra juga cenderung membawa anak-anaknya ke pusat beli-belah yang menyediakan tandas untuk kanak-kanak.
“Kebiasaannya, saya akan memilih pusat membeli-belah yang menyediakan tandas kanak-kanak.
Kadang-kadang kita sebagai ibu juga perlu memahami sudut pandang orang lain,” katanya lagi.
Difahamkan, Eyra dan suaminya yang juga penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli kini dalam situasi perkahwinan jarak jauh (PJJ).
Haziq kini menetap di Kuching, Sarawak selepas menyertai kelab Kuching City FC.
Dia berkongsi pengalaman tersebut susulan kecoh dalam media sosial apabila beberapa individu melahirkan rasa kurang senang apabila kanak-kanak lelaki dibawa masuk oleh ibu mereka ke tandas wanita.
Namun, perkongsian tersebut meraih kecaman kerana dianggap tidak peka dengan situasi yang dilalui golongan ibu yang bimbang sekiranya anak dibiarkan tanpa pengawasan orang dewasa apabila mereka ke tandas.
Sebelum ini, pelakon Ika Nabella juga turut menyuarakan pendapat tentang isu tersebut dan menegaskan akan terus membawa anak lelakinya ke tandas wanita kerana bimbang tentang faktor keselamatan sekiranya ditinggalkan bersendirian. – HIBGLAM