‘Kanser bapa makin teruk, saya belum terima RM18,000’

PELAKON dan pelawak Amir Raja Lawak mendedahkan masih belum menerima baki wang tunggakan sebanyak RM18,000 daripada pihak stesen televisyen, Awesome TV.

Menurut Amir atau nama lengkapnya, Mohammad Amirullah Azmi, 36, dia memerlukan tunggakan wang tersebut sebagai persediaan untuk menampung kos rawatan bapa, Azmi Deris yang menghidap kanser usus.

“Saya amat berharap semuanya dapat diselesaikan dengan baik kerana keadaan kesihatan bapa saya semakin uzur, tidak boleh berjalan dan memerlukan bantuan orang untuk menguruskan diri.

Penyakit kanser memerlukan kos rawatan yang mahal, jadi saya perlu sediakan wang. Jika hendak pakai duit baru saya minta, susahlah.

“Sebelum ini saya bersetuju untuk pihak stesen televisyen itu membayar secara ansuran, tetapi selepas mengetahui keadaan kesihatan bapa semakin membimbangkan, saya mahu dibayar sekali gus. Dalam keadaan begini, saya memang memerlukan baki bayaran RM18,000 itu,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, bekas peserta program Raja Lawak musim ketiga itu bersyukur kerana menerima bantuan dan sokongan daripada rakan artis selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai.

Saya bersyukur ramai yang menyokong dan membantu saya, termasuklah rakan-rakan artis. Namun, saya tidak mengetahui berapa jumlah wang yang mereka berikan kerana sumbangan dikreditkan terus ke akaun bapa,” kata Amir yang ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), semalam.

Dalam pada itu, Amir memilih untuk tidak mengulas ketika disoal tentang tindakan undang-undang daripada pihak Awesome TV.

Sebaliknya, Amir hanya memberitahu bakal ada perbincangan dalam masa terdekat antara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan isu wang tunggakan tersebut.

Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Buat masa sekarang saya perlu lebih berhati-hati untuk keluarkan sebarang kenyataan, tapi seandainya ada sebarang makluman pasti saya akan tulis (di media sosial),” katanya lagi.

Terdahulu, pihak Awesome TV memaklumkan satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga selebriti iaitu Amir, Mamak Puteh dan Abu Mamu berikutan dakwaan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui akaun media sosial masing-masing.

Amir sebelum ini memuat naik hantaran mendakwa bayarannya sebuah stesen televisyen masih tertunggak kerana hanya menerima RM5,000 daripada jumlah keseluruhan RM23,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok