PENAT. Itu perkataan yang acap kali terluah dari bibir pelakon Sophia Albarakbah sepanjang pertemuan sesi fotografi khas bersama HibGlam.
Sempat berbual ringkas sebelum memulakan bicara, ada ketika titisan dari bening kelopak matanya tumpah. Dia benar-benar terkilan mengenang insiden ketika menerima trofi pada Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), tempoh hari.
Insiden tersebut secara tidak langsung membangkitkan kisah lampau Sophia yang pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam kemelut rumah tangga Bella Astillah dan bekas suami, Aliff Aziz.
Tidak tahu mahu anggap insiden terbabit sebagai satu penyesalan, pemilik nama lengkap Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman itu berharap apa yang terjadi menjadi pengajaran dalam hidup.
Tak tahu nak cakap menyesal atau tidak, tapi bersyukur dengan semua rezeki yang saya dapat. Apabila pertama kali terjadi saya masih rasa okey untuk hadap dan mahu jadi kuat. Kali ini, saya selalu hubungi pengurus saya. Setiap kali mengadu nasib pasti akan berderai air mata.
“Semoga menjadi pengajaran dan akan tamat dengan izin Allah. Semoga Tuhan kurangkan beban saya,” katanya membuka bicara.

SOPHIA terkilan apabila kesilapan masa lalunya terus-terusan diungkit seolah-olah tiada ruang untuk dia memperbetulkan keadaan menjadi individu lebih baik. – Solekan DEQSHA
Selepas dua tahun insiden kontroversi terbesar dalam lipatan kariernya, Sophia cuma mengharapkan ketenangan hidup untuk fokus dengan kerja.
Saya cuma mahu ketenangan hidup, jangan kacau saya, masing-masing fokuslah dengan kehidupan sendiri.
“Janganlah kacau kehidupan orang. Itu saja, jadi sekarang saya memang nak fokus bekerja dengan lebih tenang,” jelasnya.
Kesilapan
Ditanya sekiranya boleh mengubah sesuatu dalam kehidupan, wanita berusia 32 tahun itu mahu membetulkan kesilapan lampau. Namun, dia reda melalui aturan takdir, akur bahawa hidupnya kini teruji dengan beban emosi yang bertimpa-timpa.
Itu kesilapan yang tidak terancang. Saya memang pernah buat salah yang tak sengaja semenjak saya menerima tawaran kerja drama berkenaan. (Ku Akad Kau Dengan Bismillah berganding dengan Aliff).
“Itu takdir, namun adakah takdir itu akan berlarutan dan membebani hidup saya sampai bila-bila?
Kadang-kadang Allah izinkan bukan semuanya terbaik tapi Allah nak mengajar kita untuk jadi yang lebih baik.
“Allah izinkan benda buruk berlaku sama ada kita sedar atau tak untuk mengubah jadi lebih baik atau terus hanyut,” katanya beremosi.

SOPHIA enggan lagi terpuruk dalam lara mengenang kesilapan natijah kejahilan mengenal landasan hidup dunia anak seni yang penuh godaan. – Penata Gaya NANA CHAH
Tampak kuat, namun sebenarnya Sophia berada di titik terendah apabila menjadi sasaran netizen.
Malah, mereka juga melakukan kecaman secara berlebihan sehingga wujud dakwaan buli siber dan gangguan seksual sehingga dia terpaksa membuat laporan polis bagi menjaga keselamatan diri.
Baginya, tindakannya membuat laporan polis membuatkan mangsa-mangsa buli siber lain turut berani memperjuangkan hak masing-masing daripada ditindas.
“Ramai orang melalui fasa atau situasi sama macam saya. Cuma mungkin mereka tak berani nak menyuarakan atau tak tahu cara.
Mungkin juga ada yang menyuarakan tapi laporan mereka tidak diambil serius. Jadi, sejak saya buat laporan polis, saya rasa boleh jadi langkah awal untuk jadikan kes siber buli sebagai satu perkara serius.
“Inilah masanya untuk ada seseorang yang berani menyuarakan supaya semua orang yang melalui perkara sama ambil serius.
Benda ini boleh membawa kepada depresi, bunuh diri dan memang memberi impak sangat teruk kepada emosi, mental dan fizikal,” tuturnya.
Selain itu, Sophia juga berharap pelaku yang melakukan jenayah gangguan seksual agar berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata lucah.
“Gangguan seksual juga satu hal yang serius dan memang bagus kes ini diketengahkan serta dapat ambil tindakan.
Kepada pelaku yang buat gangguan seksual, saya rasa kalian patut fikir dulu sebelum berbuat sesuatu dan cuba fikir kalau ibu, kakak atau anak perempuan kalian di tempat saya.
“Sanggup ke kalian buat begitu? Fikir dahulu sebelum komen. Kita manusia bukan binatang yang tak boleh kawal nafsu,” jelasnya.

Fokus kerja, Sophia bakal muncul dengan filem baharu bergenre sains fiksyen, Abu Si Raksasa.
Dia juga berharap pelaku tidak menyalahkan mangsa terutamanya dari segi pemakaian.
Berhentilah salahkan mangsa sebab setengah lelaki akan cakap ‘dia pakai seksi dan meminta’. Ubah mentaliti kalian. Sebelum ini ada kes rogol kambing, budak kecil dan nenek. Adakah sebab seksi?” jelasnya.
Abu Si Raksasa
Dalam perkembangan lain, Sophia tampil sebagai pelakon utama filem Abu Si Raksasa yang bercorak sains fiksyen hasil terbitan syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd.
Sophia memaklumkan menerima tawaran filem terbabit sebab minatnya terhadap genre sains fiksyen.
“Ini pertama kali berpengalaman berlakon dengan ‘cicak gergasi’ menggunakan bantuan teknik janaan komputer (CGI).
Bila pengurus beritahu mengenai filem bergenre sains fiksyen, saya teruja dan terus berminat nak terima.
“Apa-apa pun pengurus pesan ini adalah peluang bagus sebagai seorang pelakon,” tutupnya.
Abu Si Raksasa berkisar tentang seekor cicak salamander belaan Zaara (lakonan Sophia) yang diberi nama Abu.
Abu bermutasi disebabkan pencemaran bahan kimia daripada pencuci bilik air.
Filem arahan Ramdan Che Hassan tersebut bakal menemui penonton pada 11 September depan di pawagam seluruh negara. – HIBGLAM