PENYANYI Shiha Zikir meluahkan rasa kesal selepas menerima komen biadab seorang netizen gara-gara sekeping foto bertudung yang dimuat naiknya dalam akaun Threads, baru-baru ini.
Menerusi hantaran tersebut, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 37, berkongsi beberapa keping foto dirinya berjubah hitam, lengkap berhijab dan tersenyum ketika mengikuti kelas mengaji.
Ilmu tidak mengenal usia. Jangan pernah berhenti belajar,” tulisnya ringkas.
Ramai memuji usaha penyanyi itu ke arah kebaikan, namun salah seorang netizen tampil meninggalkan komen pedas dan menyifatkannya sebagai bengap.
Boleh tahan bengap awak ni. Gambar profil tak tutup aurat, gambar dalam posting pula bertudung,” komen individu terbabit.
Enggan membiarkan diri terus dihina, pelantun lagu Renjana itu segera membalas komen berkenaan dengan menegaskan bahawa teguran sedemikian boleh dibuat tetapi haruslah beradab.
“Dah muncul dah geng macam ni dekat Threads.
Boleh nak menegur tapi ini ke caranya? Harap jangan terasa pula kalau orang lain membalas awak dengan perkataan yang sama,” katanya.
Tambah pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu, dia tidak pernah menolak teguran namun cara menyampaikan pandangan seharusnya berlandaskan adab dan bahasa yang baik.
Saya tidak cakap langsung yang orang tak boleh menegur. Tapi saya tegur tentang adab dan bahasa kasar yang digunakan.
“Harap jelas dan faham. Doakan sahaja yang baik-baik untuk semua orang,” ujarnya.
Perkongsian itu menerima sokongan padu daripada peminat.
Rata-rata bersetuju dengan pendirian tegas Shila dalam menjaga maruah diri, malah ada yang memuji sikapnya membalas sindiran dengan penuh berhemah. – HIBGLAM