MENJADI kelaziman setiap kali sambutan Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos, ramai penyanyi akan melancarkan lagu bernuansa patriotik bagi memeriahkan lagi suasana.
Tahun ini menyaksikan gabungan anak seni berbilang bangsa yang terdiri daripada Kmy Kmo, Luca Sickta, Nicole Lai, Benzooloo dan Psychomantra tampil dengan karya berjudul Rahsia Petua.
Selaku individu yang bertanggungjawab mencipta dan menulis lirik lagu tersebut, Kmy Kmo teruja berkongsi bagaimana tercetusnya ilham untuk berlokaborasi dengan rakan seperjuangannya itu.
“Kerjasama ini sebenarnya idea Universal Music Malaysia yang mengamanahkan saya menghasilkan sebuah lagu berkonsepkan patriotik dan kenegaraan.
“Pihak pengurusan syarikat menyenaraikan barisan artis yang terlibat seperti Nicole Lai, Psychomantra dan Benzooloo untuk bergabung dalam sebuah karya istimewa ini,” kongsinya.
Bagi memenuhi tanggungjawab tersebut, Kmy berdepan cabaran terutama dalam memastikan semua ciri yang digambarkan oleh semua pihak dapat direalisasikan.
“Saya buat lirik, melodi dan korus untuk bahagian Nicole, tetapi cabaran utama adalah saya belum pernah mendengar nyanyiannya.
“Jadi, saya perlu melakukan kajian cara nyanyian Nicole menerusi video YouTube untuk mengenal pasti kekuatan nada serta lontaran bahasanya.
“Bagi melancarkan sebutan, saya harus memilih perkataan yang senang disebut supaya penyampaiannya menjadi mudah sekali gus tidak memberi tekanan kepadanya,” tambahnya lagi.
Berkongsi lanjut, Luca Sickta yang merupakan pengarah muzik lagu itu berkata label meminta mereka menghasilkan lagu kenegaraan tetapi bukan klise atau terikut-ikut dendangan karya sedia ada.
Benzoolo pula berkata, tidak lengkap lagu itu jika tidak diselitkan semangat Borneo. Justeru itu, dia menyiapkan bahagian yang menceritakan secara terperinci mengenai Sabah dan Sarawak.
“Bahagian saya hanya diberikan tajuk dan rentak kosong untuk diisi. Mereka cuma bagi perkara penting.
“Awalnya lirik saya terlalu berat dan banyak metafora, namun saya ubah dengan menceritakan lebih terperinci tentang Borneo,” jelasnya.
Sementara itu, satu-satunya ‘bunga’ dalam kolaborasi itu, Nicole Lai berkongsi keterujaannya menyampakan lagu dalam bahasa Melayu buat pertama kalinya.
“Saya gembira dapat menyertai projek ini memandangkan ini kali pertama menyanyi dalam bahasa Melayu.
“Saya semakin jatuh hati untuk menyanyikan lagu Melayu. Siapa tahu mungkin ada projek lain dengan ‘mood’ sama selepas ini,” katanya dalam nada gembira.
Bagi Psychomantra pula, pada awalnya dia menyangka akan menyampaikan lagu dalam bahasa Tamil memandangkan ia sempena Hari Kebangsaan.
“Apabila dimaklumkan lagu ini sempena hari kemerdekaan, dalam fikiran saya mesti ada gabungan penyanyi pelbagai bangsa yang akan bawa bahasa masing-masing.
“Namun, saya diberitahu semula bahawa perlu menulis dalam bahasa Melayu. Jadi, saya siapkan dan hantar kepada Luca dan Kmy.
“Menerusi lagu ini kami bangga menyanyi sebagai anak Malaysia,” kata penyanyi berbangsa India itu. – HIBGLAM