TIADA tandingan, penyanyi Datin Alyah menyifatkan suaminya, Datuk Ramli MS sebagai individu yang cerewet berkaitan pemilihan soal pemakanan selain tidak berminat untuk mencuba makanan viral dalam media sosial.
Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan, 44, berkata, Ramli juga cerewet dalam pemilihan bahan masakan di dapur terutama untuk sesetengah menu seperti asam pedas.
“Dia sangat cerewet. Kalau pergi ke restoran, saya suka makanan itu tetapi dia sebaliknya tapi perlu akui dia memang pandai masak.
“Kemudian, dia bila memasak pula jenis buat kajian dahulu. Contohnya asam pedas, dia akan kaji jenis ikan dan cili yang sesuai.
“Ikan pula banyak jenis seeprti jenahak, sembilang dan pari. Bila tidak okey, dia akan olah semula resipi,” katanya.
Tambahnya, dia juga akan merasai semua masakan eksperimen suaminya yang tidak pernah berhenti mencuba pelbagai bahan dan teknik.
Meski cerewet, Alyah mengakui asam pedas air tangan suaminya adalah yang terbaik setakat ini.
“Dengan semua kajian yang dia buat selama ni, boleh dikatakan saya ni macam ‘tikus makmal’.
“Setakat ini, saya tak jumpa lagi asam pedas yang sedap seperti dia masak.
“Bukan sebab dia suami saya, tapi sebab hasil kajian dia tu memang luar biasa,” ujarnya.
Sebelum ini, Ramli juga sering berkongsi beberapa tips memasak kepada orang ramai dalam media sosial.
Alyah juga pernah memberitahu berat badannya pernah bertambah kerana tidak menjaga pemakanan dan juga disebabkan suaminya yang rajin memasak. – HIBGLAM