SAYA nak surat cerai, itu sahaja.”
Demikian permintaan isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi yang menaruh harapan agar lafaz taklik terhadapnya dapat disahkan, hari ini.
Kata wanita berusia 33 tahun itu, proses permohonan yang difailkan suaminya di mahkamah juga disifatkan sudah berjalan agak lama iaitu sejak Januari lalu.
Itu harapan untuk hari ini sebab benda ini (pengesahan) dah ‘pending’ (berlanjutan) lama, hampir setahun.
“Jadi Yang Arif, saya minta tolong sangat, ‘please’ selesaikan benda ini,” katanya ketika ditemui HibGlam di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi pengesahan lafaz taklik, petang ini.
Afreena hadir diiringi peguamnya Mohamad Iezwan Ielias, selain turut ditemani ibu bapa serta seorang adik lelakinya.
Ditanya sama ada namanya tercalar dengan pelbagai dakwaan sejak kes mereka diperkatakan, Afreena berkata, hal tersebut tidak menjejaskan reputasinya.
“Tipulah tidak (ganggu reputasi) kerana dapat perhatian umum tapi seiring masa berlalu bagi saya biarlah (orang) ‘judge’ macam-macam.
Bagi saya, ia tidaklah menjejaskan sangat, cuma kes ini dah lama. Jadi, hanya kacau masa kita. Naik turun, naik turun mahkamah,” ujarnya.
Terdahulu, pelawak Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya pada 28 Januari lalu.
Along mendakwa isterinya melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini, antaranya curang dan tindakan membelakanginya dalam urusan rumah tangga.
Afreena pula mendedahkan perkahwinan mereka bermasalah selepas dua bulan berkahwin, bahkan mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di rumahnya pada Julai tahun lalu.
Hari ini difahamkan giliran Afreena, 29, untuk menjawab dakwaan suaminya sebelum Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi membuat sebarang keputusan.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu. – HIBGLAM