‘Kadangkala ada sedikit salah faham, saya tetap berada di sisi Anna’

SEMPENA ulang tahun ke-25, pembantu peribadi kepada pelakon Anna Jobling iaitu Nurqida menzahirkan rasa kagum terhadap keperibadian majikannya yang disifatkan sebagai wanita berhati mulia dan tabah mengharungi ujian hidup.

Tambahnya, Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman juga merupakan insan yang sentiasa baik hati dan memberi layanan mesra sepanjang tempoh lebih setahun dia berkhidmat dengan selebriti terbabit.

“Selamat hari lahir, bos saya AJ (Anna Jobling)! Terima kasih kerana sentiasa melayan saya dengan begitu baik sepanjang lebih setahun saya menjadi pembantu peribadi anda.

“Walaupun kadangkala kita ada sedikit salah faham, saya tetap berada di sisi anda melalui saat suka dan duka.

“Saya melihat anda melalui kesakitan yang disebabkan ‘seseorang’, namun anda tetap kuat dan terus melangkah ke hadapan. Itu adalah sesuatu yang saya amat kagumi,” katanya dalam InstaStory.

Selain itu, Nurqida juga memaklumkan pelakon filem Lembayung itu merupakan individu yang suka mempertahankan orang di sekelilingnya tanpa ragu-ragu.

“Saya juga sangat menghargai setiap kali anda membela saya apabila ada orang cuba memalukan saya kerana anda tidak pernah bertolak ansur dengan perkara sebegitu.

“Perkara tersebut benar-benar bermakna buat saya,” katanya lagi.

Dia juga tidak lupa mendoakan agar Anna lebih bahagia dalam hidup meskipun diuji dengan pelbagai dugaan.

“Saya mendoakan agar anda sentiasa diberi lebih kebahagiaan, kesihatan yang baik, kejayaan dan keberkatan dalam setiap langkah yang anda ambil.

“Semoga tahun ini membawa lebih banyak sebab untuk anda tersenyum dan meraikan hidup,” ujarnya.

Sebelum ini, Anna menjadi perhatian apabila ibunya, Ariz Arop mengakui hubungan dengan anak tunggalnya itu kini renggang selain berdepan kemelut.

Bagaimanapun, peguam kepada Anna dalam satu kenyataan menolak dakwaan berlaku pergelutan atau insiden mengunci ibu pelakon itu di dalam kenderaan.

Jelasnya, pintu kereta tersebut boleh dibuka dari bahagian dalam dan ketika kejadian, kenderaan sebenarnya tidak berkunci. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok