SEJAK berita mengenai berat badannya turun mendadak, ramai menzahirkan rasa risau dengan tahap kesihatan penyanyi Andi Bernadee.
Tubuhnya kini kurus melidi dengan wajah yang semakin cengkung.
Banyak spekulasi mula diperkatakan netizen malah ada yang mendakwa penyanyi yang pernah viral menerusi lagu Tak Tung Tuang itu mengambil barang terlarang dan membuat pembedahan bariatrik untuk kurus.
Ada juga yang mendakwa dia mengambil suntikan ozempic yang menjadi trend masa ini untuk kurus dengan pantas.
Tidak kurang juga yang mendakwa penyanyi Penat itu kembali terkena penyakit misteri seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.
HibGlam berpeluang bertemu empat mata dengan Andi sewaktu dia menjalani penggambaran video muzik lagu baharunya baru-baru ini.

BUKAN lagi Andi yang dahulu. Seiring kematangan usia, Andi kini tidak berasa terdesak untuk menghasilkan konten-konten ‘bodoh’ untuk memancing perhatian peminat.
Menurut Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 34, semua spekulasi liar yang dibuat netizen tentang dirinya tidak benar sama sekali.
Tegasnya, dia tidak menjalani sebarang diet ekstreme, sebaliknya hanya mengurangkan kuantiti pengambilan makanan.
“Buat masa ini saya sihat alhamdulillah. Tiada gangguan misteri. Ramai yang tidak tahu berat badan saya pernah naik mendadak sebelum ini sampai saya tak berani nak kongsi foto diri sendiri dalam media sosial.
Saya perasan berat badan saya mula naik selepas menjalani penggambaran sebuah drama bersiri. Di set, makanan yang disediakan semua sedap. Mulut saya tak berhenti mengunyah. Sebagai pelakon, makan sangat penting untuk dapatkan tenaga.
“Sampai satu tahap badan saya tiba-tiba membesar. Susah nak ‘adjust angle’ sebab dah ada ‘double chin’. Jadi saya rasa saya perlu kurangkan berat badan. Tetapi tanpa saya sedari, rupa-rupanya berat badan saya turun lebih daripada sepatutnya.
Sewaktu saya timbang berat badan di klinik, saya sendiri terkejut tengok berat saya hanya tinggal 46 kilogram (kg). Doktor kata tak seimbang dengan BMI saya,” katanya.
Pelakon drama bersiri Melastik Ke Hatimu itu juga menepis dakwaan kononnya dia mengalami masalah pemakanan gara-gara putus cinta sehingga berdepan penurunan berat secara mendadak.
“Tak ada kena mengena langsung. Mengarut sahaja semua tu,” tegasnya.
Tiada lagi konten bodoh
Seiring dengan kematangan usia yang kian meningkat, anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu seboleh-bolehnya tidak lagi mahu menghasilkan konten-konten bodoh untuk tatapan netizen.

BERAT badan naik mendadak sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama mendesak Andi untuk menurunkan berat badan dengan menjaga pemakanan. – Ihsan ANDI BERNADEE
“Saya rasa dah tak boleh buat konten-konten macam dahulu. Mungkin dahulu orang suka, tetapi kalau sekarang saya buat mungkin orang benci.
Saya perasan bila saya buat konten-konten bodoh , yang suka hanyalah peminat perempuan. Bila saya buat persembahan di luar, saya boleh lihat perbezaan penerimaan peminat perempuan dan lelaki. Mungkin konten saya disukai perempuan tetapi agak menjengkelkan bagi lelaki.
“Tidak dinafikan ada peminat yang rindukan konten-konten saya yang dahulu. Tetapi saya harap mereka faham dan boleh terima bahawa saya juga perlu tumbuh matang. Tidak lagi boleh jadi seperti pada usia 20-an.
“Dahulu saya rasa tekanan untuk menghasilkan konten setiap minggu. Seminggu kena ada tiga konten. Sekarang saya dah tak ada tekanan itu. Biarlah pencipta kandungan baru pula menyerlah,” ujarnya.
Tambah Andi lagi, dia kini berada di tahap selesa tanpa perlukan konten bodoh semata-mata untuk mengejar viral dan kekal relevan.
Kalau ada orang nak kata saya dah tak relevan, tak mengapa. Mungkin untuk mereka saya sudah tidak relevan tetapi saya masih buat kerja saya. Saya masih berada di dalam industri sama ada anda nampak ataupun tidak.
“Kalau anda tak nampak saya secara ‘online’ mungkin kerana saya sudah tidak muncul di platform itu lagi. Tetapi saya ada dalam televisyen. Drama saya akan keluar tidak lama lagi,” jelasnya.

ANDI Bernadee pernah berendam selama lima jam dalam tab mandi semata-mata demi menyempurnakam ilham penciptaan yang tiba-tiba hadir.
Alang-alang berada di set penggambaran muzik video lagu baharunya, Andi sempat berkongsi perkembangannya yang kini dalam fasa menyiapkan album sulung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Semua lagu dalam album itu saya tulis sendiri. Kali ini arah tuju atau genre yang saya bawakan agak berbeza dengan Andi Bernadee yang anda kenal sebelum ini.
“Saya kini dalam transisi menghasilkan muzik yang agak berbeza dengan lagu-lagu sebelum ini.
Saya sudah siap buat 32 buah lagu. Sekarang sudah pilih 24 lagu. Jadi akan ada dua buah album. Volume 1 dan 2,” kongsinya.
Ilham dalam tab mandi
Lain orang lain caranya untuk mendapatkan inspirasi menghasilkan lagu atau karya baharu. Begitu juga dengan Andi.
Antara tempat yang paling banyak mencurahkan idea untuk Andi menghasilkan lagu adalah ketika berendam di dalam tab mandi.
“Mungkin kedengaran pelik tetapi memang saya mendapat inspirasi tulis lagu dalam tab mandi.
Saya boleh habiskan masa dalam tab mandi sehingga lima jam.
“Saya akan berendam dalam tab mandi selepas waktu makan malam sampailah ke tengah malam.
“Selain tab mandi, saya juga dapat ilham buat lagu ketika mengembara ke kawasan pergunungan. Atas katil pun boleh dapat ilham,” kongsinya. – HIBGLAM