‘Mahu anak fokus pembentukan peribadi, bukan rupa semata’

MESKIPUN anak berdarah kerabat Diraja Negeri Sembilan, pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui lebih selesa memilih pendekatan sederhana dalam mendidik puteri kesayangannya, Tunku Sofia Najihah.

Ujar Sarimah, 47, gelaran dan kemewahan tidak pernah menjadi ukuran namun paling penting adalah membenarkan anak membesar dengan kenangan zaman kanak-kanak yang normal dan bebas.

Cara saya membesarkan anak adalah dengan membiarkan dia membesar senormal yang mungkin. Saya mahu dia fokus pada pembentukan peribadi dan personaliti, bukan semata-mata pada rupa.

“Selagi dia masih boleh jadi budak, biarlah dia jadi budak. Kita pun dahulu hidup tanpa telefon pintar dan internet. Keluar pagi, balik bila azan maghrib. Saya nak besarkan anak saya begitu, kurang bergantung pada teknologi.

“Unsur yang saya ajar bukan pada rupa, tapi kepada siapa dia sebenarnya. Saya mahu dia jadi seorang yang tahu nilai diri, bukan hanya cantik di mata orang,” katanya pada acara Melodi Terhangat Superstar Tour, baru-baru ini.

Tambah pelakon drama Lelaki Itu itu, dia lebih senang memperkenalkan elemen pendidikan yang menekankan pembentukan peribadi, berbanding penampilan fizikal mahupun status sosial.

Menjawab persoalan mengenai isu anaknya yang pernah berdepan ‘face shaming’ sebelum ini, dia percaya kanak-kanak berhak memilih dan mengekspresikan diri tanpa dihukum oleh persepsi luar.

Dari segi penampilan, dia masih kecil. Umur pun baru enam tahun. Dia pilih sendiri baju kartun kesukaan dia. Kita pun dulu macam tu, panjat pokok, main di luar rumah.

“Kalau boleh, saya nak kekalkan suasana macam tu. Sebab zaman kanak-kanak tu datang sekali seumur hidup.

“Saya cuma berkongsi dari sudut pandang peribadi. Kalau ada yang menilai lain, terpulang. Apa orang lain nak kata, itu bukan urusan saya,” tutupnya.

Terdahulu, Sarimah mendedahkan anak perempuannya pernah menjadi mangsa cemuhan hanya kerana berambut kerinting dan memakai cermin mata.

Pun begitu, rata-rata netizen memuji pendekatan Sarimah dalam mendidik anak, meskipun segelintir pihak mula membandingkan cara tersebut dengan anak selebriti lain hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial.

Untuk rekod, Sarimah mendirikan rumah tangga bersama bersama kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada 2015.

Hasil perkongsian hidup merpati dua sejoli itu, mereka dikurniakan seorang puteri tunggal, Tunku Sofia Najihah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok