‘Saya jumpa sesuatu iaitu kunci perantaraan dengan Allah’

“HUBUNGAN saya dengan Allah makin kuat.”

Demikian kata pelakon Aniq Suhair yang tidak menyesal mengambil masa lebih setahun berehat daripada dunia lakonan ketika namanya sedang popular.

Menurut Aniq atau nama sebenarnya, Mohammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 24, sepanjang tempoh berehat, dia mendapat ketenangan yang sukar digambarkan.

“Semasa tempoh berehat saya dapat ketenangan yang tidak dapat saya terangkan dengan kata-kata.

Saya jumpa sesuatu iaitu kunci perantaraan dengan Allah dan saya ke arah itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media telefilem Bos Nak Cuti, baru-baru ini.

Aniq yang kembali ke dunia lakonan menerusi telefilem Bos Nak Cuti terbitan A. Aida Production menjelaskan, sepanjang tempoh berehat terbit rasa rindu untuk kembali berlakon.

“Saya memang minat berlakon, semasa tempoh berehat rasa rindu sangat hendak berlakon sampai tahap rasa gian untuk bawa sesuatu karakter.

“Alhamdulillah, saya telah mendapat beberapa tawaran lakonan dan cuba buat yang terbaik kerana sasaran saya adalah mahu merangkul anugerah pelakon lelaki terbaik,” ujarnya.

Namun begitu, Aniq yang kini terikat dengan komitmen kerja bersama syarikat milik keluarga mengatakan kerjaya seni kini menjadi bidang keduanya.

Sebenarnya sekarang ini saya mempunyai banyak komitmen lain, saya bekerja dengan syarikat keluarga dalam bidang F&B, projek yang melibatkan masa yang panjang agak sukar untuk saya.

“Tetapi kalau ada kelapangan dan masa sesuai, saya akan berlakon. Telefilem dan filem tidak ambil masa lama. Saya tidaklah menolak terus drama bersiri, jika jadual boleh disusun dengan baik mengikutkan komitmen kerja saya okey,” tuturnya lagi.

Menerusi drama Bos Nak Cuti arahan Zul Huzaimy, Aniq bergandingan dengan bintang baharu Azeva Natassha yang juga anak kepada penerbit Datuk A. Aida.

Drama tersebut disiarkan di saluran Salam HD di Unifi TV. Penonton boleh menonton drama tersebut secara percuma dengan memuat turun aplikasi Unifi TV.

Selain drama Bos Nak Cuti, Aniq juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem arahan Pierre Andre berjudul, Narsata: Sekutu Setan.

Terdahulu, Aniq terpalit dengan kontroversi panas yang mengaitkan namanya dengan skandal menghamilkan seorang wanita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok