MUNCUL sebagai wajah baharu dalam Impak Maksima 2, sekuel filem yang boleh dikatakan ikonik, pelakon meningkat naik, Arfie Shah menegaskan tiada keperluan untuk dibandingkan dengan pelakon terdahulu, Awal Ashaari. Menerusi Impak Maksima 2, watak dan karakternya diberi pendekatan berbeza.
Arfie atau nama lengkapnya Adwafri Shaharuddin, 32, sebenarnya amat berbesar hati diberi peluang oleh Ahmad Idham untuk menyertai legasi yang pernah mencetus fenomena dalam dunia perfileman Malaysia hampir dua dekad lalu.
“Tiada apa nak dibandingkan sebab kami berdua ada karakter berbeza. Awal tetap Awal dan Arfie adalah Arfie.
“Saya hormat perjalanan beliau dan tidak pernah rasa saya ganti sesiapa,” katanya.
Memegang watak utama sebagai Rudy dalam filem aksi tersebut, Arfie mengakui membesar dengan karya-karya arahan Ahmad Idham dan tidak menyangka diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam sekuel filem yang pernah fenomena satu masa dahulu.
“Ini satu peluang yang saya tak akan lupa sampai bila-bila. Saya bermula dalam industri sekitar 2013 dan waktu itu hanya mencari ruang. Tak sangka tahun ini saya dapat bintangi tiga filem termasuk Impak Maksima 2,” tambahnya.
Mengulas lanjut cabaran membawakan watak utama sebagai Rudy, Arfie perlu menguasai kemahiran aksi drift dalam tempoh singkat, satu pengalaman baharu yang benar-benar menguji keberanian dan kemampuan dirinya sebagai anak jantan.
“Drift bukan sesuatu yang mudah dan agak berbahaya. Tapi saya bertuah dibantu pelumba drift berpengalaman untuk menguasai aksi-aksi penting dalam filem ini.
“Abang Idham kata saya hanya perlu jadi diri sendiri kerana dia percaya saya boleh menjiwai watak Rudy.
“Tapi saya tetap buat persediaan rapi, bersenam dan pastikan badan sihat. Bila fizikal kuat, mental pun lebih bersedia,” katanya.

DIBANDINGKAN dengan Awal, hero asal Impak Maksima hampir 18 tahun lalu, Arfie berharap penonton dapat menilai perbezaan pendekatan dan karakter Rudy lakonannya dalam versi 2025 ini.
Arfie turut menyifatkan kritikan dan perbandingan daripada penonton sebagai pembakar semangat yang mendorongnya untuk terus memperbaiki mutu lakonan dan membuktikan dirinya mampu pergi jauh dalam industri.
“Bagi saya, komen itu tanda orang ambil berat. Saya teruja bila orang bandingkan saya dengan abang Awal. Tapi saya langsung tak anggap apa yang dikatakan itu sesuatu yang negatif,” ujar Arfie yang pernah membintangi siri X-Change.
Impak Maksima 2 mengangkat kisah dunia permotoran dan kesinambungan daripada filem pertama pada 2007, sudah ditayangkan di pawagam sejak 17 Julai lalu.
Naskhah terbitan Screen Studio Sdn. Bhd. itu mengekalkan pelakon asal seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi dan Opie Zamie.
Selain Arfie, barisan pelakon baharu yang lain yang turut mewarnai filem berkenaan termasuk Nelissa Nizam, Aydeel Idham dan Fad Bocey.