SELEBRITI versatil, Alif Satar terkejut dan kesal berhubung insiden kematian seorang pelajar sekolah yang didakwa akibat tekanan dibuli di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini.
Tidak faham bagaimana perasaan pembuli dan samseng itu sesuatu yang menyeronokkan, pemilik nama sebenat Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, berkata, budaya buli dalam kalangan pelajar juga bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan.
“Baru lepas baca fasal budak sekolah asrama meninggal dunia tertekan akibat dibuli.
“‘Wannabe’ (acah) gangster dan pembuli bukanlah sesuatu yang hebat.
“Aku tak tahu siapa yang beritahu budak-budak sekarang, jadi samseng ini hebat dan orang akan hormat,” katanya dalam aplikasi Threads.
Mengimbau kenangan ketika menemubual seorang pembuli dalam penjara, pelantun lagu Cukup Indah itu menjelaskan bahawa jenayah sebegitu hanya akan merugikan masa depan seseorang.
“Dulu aku pernah temubual orang begini (pembuli) dalam penjara.
“Percayalah, tak ada benda hebat dan tiada siapa yang hormat pun bila kau dekat dalam (penjara).
“Duduklah kau dalam sel sorang-sorang. Macam mana nak cakap dekat mereka supaya faham?,” ujarnya.
Dalam masa sama, ramai yang bersetuju dengan pendapat Alif dan memaklumkan pengaruh filem merupakan penyumbang utama terhadap gejala buli dalam kalangan pelajar.
“Semua filem tempatan berkaitan gangster sekolah seperti Kahar: Kapla High Council. Pelajar tak hiraukan pengajaran pada penghujung cerita tetapi lebih memfokuskan keganasan babak pergaduhan,” kata pengikut.
“Malaysia suka keluarkan filem yang tiada faedah. Konon sebagai pengajaran tetapi mereka tak belajar bahawa manusia cenderung buat salah saja,” ujarnya peminat.
“Kementerian perlu lebih peka dalam hal-hal seperti ini dan merangka mekanisme untuk membendung atau menghentikan gejala buli,” jelas netizen.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar iaitu Zara Qairina yang dipercayai menjadi mangsa buli meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sabah pada 17 Julai lalu.
Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). – KOSMO! ONLINE