KEMBALI solo, penyanyi Nikki Palikat memaklumkan hubungan cintanya dengan jejaka Perancis berakhir kira-kira enam bulan lalu.
Biarpun hubungan tidak kesampaian, Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louise Palikat, 39, optimis dan mengakui sedang menikmati fasa kehidupan baharu sebagai wanita bebas tanpa sebarang ikatan percintaan.
“Kami sudah tidak ada apa-apa hubungan. Saya sudah ‘single’ tetapi tidak ‘available’. Dalam enam bulan juga kami sudah putus hubungan.
“Inilah kali pertama saya ‘single’ dalam masa 15 tahun. Selama ini memang ada saja (pasangan) jadi saya rasa inilah masanya untuk saya berseronok dengan kehidupan ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, bekas isteri kepada komposer Audi Mok itu mengakui perpisahan tersebut ternyata membuka mata bahawa dia mampu hidup sendiri tanpa bergantung kepada sosok bernama lelaki.
“Saya sedar bila saya dengan diri sendiri, tiada langsung masalah. Saya tak cari masalah untuk puaskan hati sendiri.
“Kita miliki 100 peratus rasa aman dan bahagia itu sendiri. Macam mana saya tak gembira, saya baharu sedar yang saya suka hidup sendiri (tanpa pasangan).
Sebelum ini apa sahaja yang saya lakukan dengan pasangan rupa-rupanya saya juga boleh buat sendiri. Kenapa tidak?,” ujarnya.
Namun, Nikki tidak menolak sekiranya takdir menemukan dengan cinta baharu selain menyatakan bahawa dirinya mampu menjadi pasangan terbaik.
“Saya masih terbuka untuk menerima pasangan dalam hidup. Kalau ada lelaki yang sesuai kenapa tidak.
“Saya ni orangnya romantis, kalau datang peluang untuk bercinta kembali, saya suka sahaja pada perkahwinan. Saya rasa saya boleh jadi seorang isteri yang baik, daripada apa yang saya lalui dalam hidup ini.
“Tetapi dalam satu hubungan itu perlu ada komitmen daripada dua-dua pasangan (suami dan isteri). Kalau tiada calon (suami) yang sesuai, saya okey sahaja hidup sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, Nikki menjalin hubungan cinta dengan jejaka berusia 43 tahun itu selepas berkenalan sewaktu mendapatkan rawatan kiropraktik daripada lelaki berkenaan yang merupakan pengamal perubatan alternatif.
Dia turut memberitahu teman lelakinya itu tidak mengetahui dia adalah seorang penyanyi pada awal perkenalan mereka sehinggalah didedahkan kenalan mereka.
Nikki sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Audi Mok pada Jun 2009 namun bercerai pada Jun 2022.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Liam Mok yang kini berusia 15 tahun. – HIBGLAM