KECOH dalam media sosial apabila busana perkahwinan Ezlisa Loy dikatakan meniru busana perkahwinan pempengaruh, Ally Mukhriz yang merupakan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ezlisa yang juga adik kepada pelakon Elfira Loy itu memakai busana tradisional songket berwarna biru muda disulami manik berwarna merah jambu rekaan Samm Republic.
Ally juga dilihat memuat naik semula foto hari persandingannya lima tahun lalu memakai busana tradisional rekaan pereka fesyen tersohor, Fizi Woo.
Berikutan terdapat persamaan dalam rekaan busana masing-masing, netizen mula membuat perbandingan dan menuduh Ezlisa dan Samm Republic meniru busana perkahwinan Ally.
“Kenapa baju sama macam Ally Mukhriz?,” soal netizen.
Namun dalam hantaran Ezlisa tentang busana perkahwinannnya, dia berkongsi inspirasi busana asal iaitu daripada pereka fesyen antarabangsa yang berasal dari Filipina, Michael Cinco.
Menyedari nama adiknya menjadi umpatan netizen, Elfira dilihat meninggalkan komen pada hantaran tersebut mempertahankan adik kesayangannya termasuk sepotong ayat berbaur sindiran dalam aplikasi Threads.
“What a joykiller (perosak kegembiraan orang lain), patutlah kawan dengan (emoji wajah tutup mulut),” coretnya menerusi Threads.
“Michael Cinco ialah seorang legenda. Saya sentiasa menyukai rekaannya. Dapat menghasilkan busana yang hampir sama dengan rekaannya terutamanya bahagian skirt dengan kombinasi labuci berbentuk bunga, sangatlah cantik Samm Republic.
“Apa-apa pun tujuan dia nak nampak cantik sahaja. Setiap pengantin nak nampak cantik. Bukan nak masuk pertandingan baju siapa paling cantik dan nombor satu,” tulisnya.
Sementara itu pereka fesyen Fizi Woo dilihat turut memberi reaksi terhadap hantaran yang dimuat naik Ally.
“Masih menjadi rekaan yang paling saya banggakan. Penampilan yang sangat ikonik. Mereka masih cuba untuk menirunya selepas separuh dekad,” tulisnya.
Terdahulu Ezlisa selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya yang dikenali sebagai Hafiz Azizi pada 29 Jun lalu dalam majlis yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur. – HIBGLAM