SUDAH lama mengagumi karya dan suara lunak mendiang Glenn Fredly, kini pelakon dan penyanyi Bella Astillah bakal merealisasikan impian sebagai peminat apabila tersenarai dalam barisan artis yang akan menjayakan Glenn Fredly Holographic Performance pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabella Astillah, 31, menyifatkan penyertaan itu sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi sejak kecil sudah mengagumi Glenn Fredly dan menganggap pemergian penyanyi tersohor Indonesia itu sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik.
Mendiang Glenn Fredly merupakan antara penyanyi kegemaran saya sejak dahulu. Sejak kecil lagi saya memang sudah mengenali sebahagian besar daripada karyanya memandangkan muzik yang dipertaruhkan juga berbeza daripada yang lain.
“Rangkaian lagu-lagu seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta begitu saya minati. Saya pasti sebahagian besar daripada kita pun memang menjadikan muzik Glenn sebagai rujukan dan menjadi kegemaran ramai,” katanya.
Selain pelantun Lebih Indah Terpisah itu, antara artis lain yang akan menjayakan konsert tersebut termasuk The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.
Konsert itu menampilkan persembahan holografik istimewa Glenn Fredly, membuktikan bahawa kehilangan figura ternama itu tidak memadamkan legasi muziknya yang masih dekat di hati peminat yang menjadikan ibu negara sebagai lokasi kedua selepas kejayaan besar acara sama di Jakarta dua tahun lalu.
Masih terlalu awal untuk saya dedahkan bentuk persembahan nanti, tetapi saya pasti ia bakal menjadi satu pengalaman baharu yang istimewa buat semua peminat,” tambahnya.
Konsert yang dijangka berdurasi dua jam setengah ini dibawakan Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd.
Tiket untuk konsert tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com/GlennHologram dengan tawaran diskaun istimewa sebanyak 30 peratus menggunakan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh, manakala tiket pasangan ditawarkan pada harga RM266. – HIBGLAM