‘Nak kutip hutang bekas suami, jangan cari saya’

PELAKON dan penyanyi, Elliza Razak kini hidup diselubungi ketakutan apabila diganggu pengutip hutang yang melibatkan bekas suaminya.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Elliza atau nama lengkapnya Elliza Abdul Razak, 41, meluahkan kerisauannya apabila diganggu beberapa individu yang menuntut hutang bekas suaminya.

“Saya dah bercerai! Tak ada kena mengena dengan bekas suami dah. Saya pun tak tahu dia tinggal di mana.

Kepada yang nak cari dia (bekas suami) untuk kutip hutang, tolong jangan cari saya. Saya tak tahu apa-apa pasal hutang dia.

“Hari ini banyak masuk mesej orang cari dia (bekas suami). Bunyi macam ah long minta hutang pun ada. Ya Allah, tolong jangan ganggu ketenteraman saya,” tulisnya.

Tambah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu lagi, nafkah untuk dua anaknya juga sudah empat bulan tidak dibayar.

Elliza sewaktu dihubungi HibGlam berkata, dia kini ketakutan dan berkurung di dalam rumah.

Saya takut nak keluar rumah, saya ada hubungi Nine (teman rapat) dan dia nasihatkan saya untuk tidak keluar rumah.

“Tetapi saya risau kerana perlu juga keluar dari rumah untuk ambil anak pulang dari sekolah,” katanya.

Tambah Elliza lagi, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya terus diganggu dan keselamatannya terancam.

Untuk rekod, Elliza dan bekas suaminya yang dikenali sebagai Khairul Adzwan Nasir berkahwin pada 11 November 2011 namun bercerai pada Februari 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok