PELAKON Elisya Sandha mendedahkan melalui tempoh berpantang yang sangat mencabar apabila mengalami komplikasi luka pembedahan Caesarean Section (C-Sect) selepas dua minggu melahirkan anak keduanya.
Ujar Elisya atau nama penuhnya, Nur Elisya Sandha Hassan, 26, tempat pembedahan Caesarean C-Sect belum sembuh sempurna sehingga menyebabkan jangkitan sekali gus menyukarkan pergerakan hariannya.
“Sebenarnya saya masih tak percaya dah ada dua orang anak, alhamdulillah sudah habis pantang juga semalam (kelmarin). Pengalaman pantang tak boleh terangkan sebab saya sangat ‘down’ (murung) dan sedih.
Apa yang boleh dikongsikan, tempat pembedahan C-Sect luka dan ada jangkitan. Duduk, baring, jalan semua tak kena. Sakit kepala sangat sehingga ganggu 44 hari pantang saya.
“Dah hujung-hujung okey sikit, boleh bercakap. Kalau tak jadi macam ‘depression’,” katanya kepada HibGlam semasa majlis tayangan perdana filem Citra Apartment lakonannya, semalam.
Bagaimanapun, adik kepada pelakon Fasha Sandha itu berjaya keluar daripada fasa sukar tersebut dengan sokongan ahli keluarga terutamanya suami tersayang, Uzair Haqimy Azman.
Banyak sangat benda jadi buatkan saya murung tapi allhamdulillah habis pantang saya dapat balik semangat saya.
“Saya dapat sistem sokongan kuat daripada suami dan tengok anak hilang sikit kesakitan,” ujarnya.
Pun begitu, Elisya meluahkan rasa syukur memiliki ibu mentua iaitu pelakon Sheila Rusly yang prihatin terhadap dirinya sepanjang berpantang.
Namun, dia memilih untuk tidak berkongsi perihal kesihatan kepada ibu dan ibu mentua kerana enggan mereka risau.
Saya beruntung dapat ibu mentua yang sangat ambil berat, fikir fasal makanan pantang saya dan pastikan saya makan. Kalau tak dia risau.
“Cuma sedih mengenai kesihatan diri sebab pergerakan saya terbatas. Lagipun, saya dah ada dua orang anak, dua tanggungjawab.
Saya pilih tidak beritahu ibu mentua dan ibu saya mengenai kesihatan sebab tidak mahu orang risau kecuali suami sebab dia duduk dengan saya hari-hari nampak muka, tahu tak okey,” jelasnya.
Pada Mei lalu, Elisya selamat melahirkan cahaya mata kedua yang diberi nama Bahtera Elhaq.
Selain Bahtera, pelakon filem Possessed itu memiliki anak perempuan iaitu Bunga Elhaq yang kini berusia tiga tahun.
Terdahulu, Elisya dan Uzair selamat bergelar suami isteri pada Ogos 2021. – HIBGLAM