‘Tak perlu buka aib orang, dosa tanggung sampai bila-bila’

MESKI berkali-kali dikhianati dan dilukai orang sekeliling, pelakon Ira Kazar memilih untuk tidak sesekali membuka aib sesiapa semata-mata memuaskan hati sendiri atau meraih simpati netizen.

Ujar Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 30, mendedahkan keaiban individu lain mungkin memberi kepuasan sementara, namun akhirnya akan membawa penyesalan sepanjang hayat.

“Kalau saya cerita mengenai orang lain begitu begini, apa saya dapat? Saya tak dapat apa pun.

Mungkin puas hati sekejap, tapi selepas itu pasti saya akan menyesal. Sebab kita buka aib orang.

“Kalau korang suka buat begitu, teruskanlah. Tapi bukan saya. Saya tak sanggup,” katanya menerusi video dalam Threads.

Tambah anak pelakon Kazar Saisi itu, menjaga maruah dan harga diri orang lain lebih mulia daripada mengejar keadilan di mata netizen yang belum tentu memahami hakikat sebenar.

“Kita kena jaga aib orang. Untuk apa nak buka? Nak nampak diri kita betul?

Tak perlu pun buka, sebab tak dapat apa pun. Kepuasan tu sementara, tapi dosa tanggung sampai bila-bila.

“Kalau kita dianiaya, biarlah. Satu hari nanti kebenaran akan terbongkar. Saya yakin Allah akan tunjuk semuanya,” ujarnya.

Ira sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk isu rumah tangga bersama pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof.

Untuk rekod, mereka mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand sebelum sah bercerai talak satu pada 5 September 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok