Kembalikan humor, sisi ‘betina’ robot Megan

SEDIKIT hilang magis berbanding filem pertama, rasa seperti sekuel kali ini tergesa-gesa untuk dihabiskan dan robot bernama Megan terlalu ‘berlembut’ hingga hilang elemen ‘kebetinaan’ laksana awal perkenalan tiga tahun lalu.

Itu pendapat peribadi penulis selepas menghabiskan tontonan filem M3GAN 2.0 pada tayangan perdana naskhah arahan Gerard Johnstone tersebut di Starling Mall, baru-baru ini.

Sejujurnya, tidak meletakkan harapan tinggi menggunung untuk sesebuah sekuel (kerana kebiasaannya memang akan flop), tapi M3GAN 2.0 mempunyai banyak potensi untuk memecah stereotaip itu. Malangnya, kurang terdampak seperti filem pertama.

M3GAN 2.0 sedikit lari daripada tujuan asal naskhah asal, namun masih menghiburkan.

Plot berterabur

Pertama sekali, dari segi plot penceritaan. Penulis faham universe M3GAN akan lebih berkembang dengan usaha memperkenalkan karakter baharu (dibaca: musuh) bernama Amelia.

Masalahnya, karakter Amelia tidak dikembangkan secara optimum. Sekejap bertukar menjadi itu, sekejap menjadi yang lain sampaikan tidak sampai mesej bahawa Amelia robot pembunuh yang kejam dan tiada empati.

Perjalanan kisah filem kali ini acapkali bergulir antara Gemma dan anak buahnya, Cady. Ironi, sedangkan apa yang audiens mahukan adalah Megan yang berhati ‘kontang’ kerana dia adalah selling point mengapa filem pertama dulu meledak dengan jayanya.

WATAK ibu saudara Gemmy (kanan) dan Cady yang menjadi fokal utama sekuel kali ini.

Keduanya, usah terkejut ketika menonton ada momen atau adegan Megan rasa dirinya seperti superhero komik DC atau MCU yang ‘lupa ingatan’. Kita tak perlukan Fantastic Four untuk ‘memunculkan’ diri sebelum tarikh tayangan rasmi filem dinanti ramai tersebut.

Faham bahawa produksi atau pengarah terbeban dengan harapan untuk menjayakan sebuah lagi filem M3GAN. Penonton pun tidak minta banyak – cukup sekadar mengekalkan DNA atau tema daripada filem terdahulu.

Tidak perlu terlalu sembang hebat sepanjang Brooklyn Bridge sekali gus lari daripada tujuan asal mengapa perjalanan M3GAN disambung kepada projek sekuel.

Gagal

Barangkali pengarah ingin mencetuskan rasa empati terhadap dua karakter utama Gemma dan Cady, namun itu ternyata tidak berhasil. Persaudaraan antara mereka tidak perlu dikisahkan berjela-jela kerana seperti naskhah pertama, ‘dicarik’ sedikitpun, itu sudah terkesan dalam jiwa penonton.

ROBOT android baharu bernama Amelia yang menjadi seteru Megan dalam M3GAN 2.0.

Apa yang penulis harapkan adalah perseteruan antara Megan dan Amelia betul-betul membuat penonton tidak senang duduk. Ternyata, itu tidak berlaku.

Mereka ‘bertarung’ pun rasa seperti kucar-kacir, half-baked dan tiada pusingan plot atau plot twist yang betul-betul mencengkam jiwa.

Klimaks antara Amelia dan Megan berdepan antara satu sama lain pun tidak berbekas di hati penulis. Terlalu banyak perkara yang ingin disumbat.

Keseluruhannya, jauh sekali ketinggalan berbanding kualiti dipamerkan dalam filem pertama.

Sebuah sekuel yang ‘okey okey’ sahaja. Menghiburkan, namun tidak meninggalkan kesan untuk jangka masa panjang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok