USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Prince Syed mengakui merindui lemang buatan bapa mentuanya dan berasa sedih kerana tidak menikmatinya lebaran tahun ini.
Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 34, menyifatkan bapa mentuanya itu sebagai insan sangat baik.
“Saya rindu lemang air tangan ayah mentua. Rindu sangat-sangat. Ayah mentua saya baik orangnya.
Apa jadi sekali pun, kasih sayang saya pada keluarga mentua tidak akan pernah pudar,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Suria FM, semalam.
Mengulas lanjut hubungan dengan keluarga mentua, Prince Syed berkata, hubungan mereka tidak lagi ‘panas’ seperti sebelum ini.
“Saya mengambil pendekatan untuk jadikan apa yang berlaku antara kami sebelum ini sebagai satu pengajaran.
Walaupun saya pernah dibelasah oleh keluarga mentua, dihentak dengan topi keledar, saya mahu lupakan semuanya.
“Saya jadikan perkara ini sebagai usaha untuk saya menjadi suami yang lebih bertanggungjawab menjaga isteri saya elok-elok. Itu janji saya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, ramai netizen mengkritiknya dan isteri, Fatin gara-gara didakwa cuba menjarakkan diri dengan keluarga mentua.
Sebenarnya tidak. Mereka ditahan di lokap untuk membantu siasatan. Saya pun hanya tahu pada malam hari saya buat laporan menerusi sebuah video dalam TikTok. Saya terus hubungi pegawai polis dan dimaklumkan mereka terpaksa tahan untuk siasatan.
“Ketika itu saya masih kelam kabut menjaga isteri di hospital,” katanya yang sudah menarik semula laporan polis terhadap keluarga mentuanya pada Mac lalu.
Terdahulu pada 14 November lalu, empat ahli keluarga mentua Syed telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan berbeza.
Ibu bapa mentua serta adik ipar Syed mengaku tidak bersalah atas dakwaan sengaja mencederakannya di Sungai Bertek pada awal November, manakala abang ipar Syed turut membuat pengakuan sama atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik adiknya, Fatin Syazwani.
Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin, dengan kes kecederaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan. – HIBGLAM
