TERKEJUT dengan peningkatan diri, selebriti tekenal Neelofa tidak menjangka dapat mempelajari bahasa Arab sehingga mampu menghabiskan 10 topik.
Dalam masa sama, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, berdoa dilapangkan dada bagi memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Arab agar mudah memahami isi al-Quran.
“Sekarang dah bab 10 buku satu, panjang lagi perjalanan, cuma macam tak percaya boleh sampai di sini.
Moga Allah lapangkan dada, pancarkan cahaya ilmu dan bagi kefahaman untuk kuasai ilmu bahasa ini, semua milik Allah.
“Moga Allah rezekikan untuk pinjamkan ilmu ini sepenuhnya suatu hati nanti, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Instagram.
Mengakui pernah mengikuti kelas bahasa Arab tetapi terkandas di tengah jalan, isteri kepada pendakwah selebriti PU Riz itu ingin menguasai bahasa Arab bagi memahami bacaan ayat suci al-Quran.
“Macam mimpi jadi kenyataan, dari dulu selalu doa nak kuasai bahasa Arab untuk faham al-Quran, nak baca al-Quran macam baca buku cerita.
Nak belajar banyak hadis dan boleh bercakap kalau di Tanah Suci tapi tak tahu macam mana nak buat. Dah cuba banyak kali ambil kelas namun, separuh jalan sebab susah, mindset (pemikiran) dan sibuk.
“Tapi masih doa terutama malam-malam mustajab berdoa walaupun harapan itu nipis saja dalam hati cuma yakin Allah dengar,” ujarnya.
Sebelum ini, ibu kepada dua anak mengejutkan dunia hiburan dengan keputusan berhijrah malah memakai hijab.
Dia juga berkorban melepaskan segalanya demi mengejar reda Allah dan memberi inspirasi buat ramai wanita untuk mengejar kecantikan sebenar, bukan pada wajah tetapi pada iman. – HIBGLAM