‘Kita bukan di Hollywood’ – Adriana Adnan tolak baju nampak ketiak

MESKIPUN sering mengikuti perkembangan fesyen semasa, pelakon Adriana Adnan sentiasa berhati-hati dalam menggayakan pakaian.

Peka dengan sensitiviti, Adriana, 30, sangat menitikberatkan soal pemakaian agar tidak mencolok mata atau terlampau seksi.

“Saya biasanya akan memakai pakaian yang tidak terlalu terdedah. Saya lebih selesa memakai pakaian sopan dan tidak mencolok mata.

Biasanya saya akan pesan pada penata gaya untuk memilih baju yang tak nampak ketiak.

“Lagipun kita di Malaysia bukan di Hollywood, jadi saya kena hati-hati dan menjaga sensitiviti. Orang pun tak selesa tengok kita pakai terdedah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Menekankan soal keselesaan, pelakon filem Emp4t itu turut memaklumkan mengenai saiz badannya berlainan dengan kebanyakan wanita Asia menyebabkan dia memilih pakaian bersaiz besar.

“Apa yang penting dalam fesyen adalah keselesaan. Pakailah apa-apa pun kena selesa barulah akan yakin bila jumpa orang.

“Biasanya saya ada masalah baju tak selesa dengan memakai pakaian bukan saiz saya. Dada saya bidang dan agak tinggi.

“Jadi, baju bersaiz Asia memang tak muat hingga saya akan minta saiz sedikit besar,” ujarnya.

Biarpun pernah berhadapan pakaian disediakan penata gaya tidak memuaskan, Adriana tak cepat melatah sebaliknya tetap menggayakannya dan beri tumpuan kepada kerja.

“Kalau saya asyik merungut pun tak boleh. Jadi, lebih baik saya fokus kepada kerja saya kemudian baru fikir soal baju.

“Selama ini saya tak fikir langsung apa orang nak cakap mengenai fesyen yang digayakan. Malah, saya selalu ajar diri untuk tidak terlalu fikir tentang kritikan orang luar,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok