SETIAP naskhah pastinya meninggalkan impak berbeza buat para pelakonnya begitu juga yang dirasakan aktres Indonesia, Citra Kirana selepas menerajui filem Keajaiban Air Mata Wanita.
Filem arahan Indra Gunawan yang mengangkat mesej ketabahan seorang wanita bernama Kiki lakonan Citra selepas bergelar ibu tunggal tatkala berdepan dengan pelbagai ujian yang pada akhirnya segala jawapan dan ketenangan dicari adalah dari Yang Maha Esa.
Menurut Citra, 31, filem tersebut mengajarnya untuk menjadi individu lebih kuat dan tidak mudah rapuh setiap kali berdepan ujian Tuhan.
“Watak ini berat, sentiasa berendam air mata, namun mengajar saya untuk jadi wanita kuat dan tidak berhenti memperbaiki diri ke arah lebih baik meski hidup dilanda badai.
Satu hal yang saya belajar daripada Kiki ialah sekecil apapun dosa, jangan terlewat untuk melakukan solat taubat kerana pasti Allah sentiasa mengampunkan hamba-Nya,” katanya kepada HibGlam pada majlis malam gala filem tersebut baru-baru ini.
SEDAR manusia tidak lepas melakukan kesalahan, Citra istiqamah melakukan solat taubat setiap hari.
Tutur anak jati Jawa Barat itu, dia juga mahu orang ramai mengubah pemikiran bahawa solat taubat hanya perlu dilakukan pada waktu tertentu sebaliknya boleh ditunaikan sebanyak mungkin untuk memohon keampunan.
“Kita selalu fikir bahawa solat taubat hanya dibuat sekali-sekala tetapi hakikatnya boleh dilakukan seberapa banyak yang kita mahu sebab dosa kita sangat besar.
Itu yang saya amalkan sekarang, setiap hari berusaha untuk solat taubat. Perbuatan sekecil apa pun, termasuk menyakiti hati orang atau berbuat salah secara tidak sengaja, perlu diusahakan untuk solat taubat terus,” ujarnya.
Teruja berkongsi mengenai wataknya, Citra bersyukur kerana tidak sukar mencipta keserasian dengan heronya yang merupakan suami sendiri iaitu Rezky Aditya (Ronald/Bagas) dan rakan baiknya, Natasha Rizky (Rahma).
Ujarnya, skrip hasil tulisan pakar motivasi Nasrullah atau Pak Nas luar biasa hebat kerana sarat dengan emosi dan mesej positif.
“Lakonan saya banyak dibantu skrip yang bagus, pengarah juga beri tunjuk ajar dengan baik.
Setiap kali beraksi, saya masukkan semua skrip itu dalam jiwa, jadi emosi itu terlahir dengan sendirinya. Semua bagus dan sangat positif,” katanya lagi.
KEAJAIBAN Air Mata Wanita mengangkat kisah ketabahan jiwa seorang ibu tunggal.
Bercerita lanjut, dia mengakui adegan Kiki kehilangan susuk seorang suami adalah sukar kerana perlu mencurahkan segala emosi yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.
Babak paling susah adalah saat kehilangan suami, sebab emosi yang perlu dicurahkan sangat berat dan tidak boleh bayangkan rasa kehilangan suami itu seperti apa.
“Kalau nak cakap tentang babak paling menyentuh, saya boleh katakan seluruh filem.
Air mata yang dicurahkan adalah dari emosi sebenar, tanpa bantuan ubat titis mata. Kami perlu meresapi emosi untuk setiap adegan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia berharap Keajaiban Air Mata Wanita yang mula ditayangkan pada 19 Jun lalu itu mendapat tempat dalam kalangan pencinta filem di Malaysia seperti di Indonesia.
“Alhamdulillah sambutan di Indonesia sangat positif dengan jumlah penonton lebih 250,000, itu cukup memberangsangkan dan bagus.
“Justeru, semoga filem ini juga diterima baik di Malaysia dan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya lagi.
Tip rumah tangga
Bahagia dengan kehidupan sebagai seorang isteri sejak berkahwin pada 2019, dia berkata, tidak mudah untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

SESIBUK manapun dengan karier, Citra dan suami tercinta, Rezky akan meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti kegemaran mereka.
Citra bagaimanapun yakin dengan prinsipnya iaitu kerap menghabiskan masa bersama pasangan adalah formula untuk terus memastikan hubungan mereka kekal romantis.
“Kami bernikah pada 2019, bagi saya masih baharu dan dalam proses belajar memahami serta mengutuhkan rumah tangga.
Kalau tanya saya dan Rezky, hanya tip kecil sahaja kami dapat kongsi iaitu sentiasa mencuri atau mencari masa untuk lakukan aktiviti berdua.
“Salah satu caranya ialah selain mempromosikan filem di Malaysia, kami lanjutkan masa beberapa hari untuk bercuti berdua. Ini antara cara kami dapatkan ‘quality time’ bersama,” kongsinya.
Jelasnya, masa berkualiti tersebut bukan hanya terikat dengan percutian semata-mata tetapi juga melakukan aktiviti yang diminati bersama.
Buat masa ini, kami sangat aktif dengan aktiviti sukan pickleball.
“Tip ini mungkin kedengaran klise tetapi hakikatnya sangat memberi impak kepada hubungan suami isteri,” katanya lagi. – HIBGLAM