Saya izinkan isteri beraya di Sarawak – Fikry Ibrahim

TIADA perkongsian gambar atau beraya bersama, itu bukan penentu rumah tangga sudah berkecai.

Demikian penegasan pelakon juga pengacara Fikry Ibrahim berhubung dakwaan keberantakan perkahwinannya dengan isteri, Siti Khalizah Alihan.

Menurut Fikry, dia dan isteri sebenarnya sepakat untuk tidak berkongsi foto bersama dalam media sosial bagi menjaga privasi.

Fikry atau nama lengkapnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, mengakui agak terkejut apabila spekulasi tersebut bertebaran semula namun memilih untuk tidak cepat melatah.

“Itu semua hanya spekulasi (rumah tangga retak). Semuanya kerana kami tidak berkongsi gambar bersama.

Kalau anda semua boleh lihat, kali terakhir saya berkongsi foto dengan ibu. Adakah itu menunjukkan saya bergaduh dengan ibu saya? Tidak juga.

“Saya dan isteri berasakan lebih baik untuk tidak berkongsi gambar bersama. Saya agak terkejut bila ada lagi khabar angin (kisah rumah tangga) ini, disebabkan itu saya ketawa saja,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana filem Libang Libu, malam tadi.

Tambah pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu, keputusan untuk membataskan perkongsian foto peribadi merupakan prinsip yang dipegangnya untuk menjaga privasi rumah tangga.

“Sebelum kahwin saya tak pernah berdepan isu seperti ini (kontroversi). Selepas kahwin saya masih mengekalkan prinsip sama, tidak suka berkongsi kisah privasi.

Kalau lihat dalam media sosial, saya hanya berkongsi tentang ibu. Adik-beradik lain atau arwah bapa pun saya jarang berkongsi,” ujarnya.

Menjawab mengenai dakwaan sambutan Aidilfitri yang disambut secara berasingan, Fikry menjelaskan perkara tersebut adalah disebabkan tanggungjawabnya menjaga ibu yang menjadi keutamaan.

Isteri beraya di Sarawak. Tahun ini giliran isteri cuma saya kena jaga ibu. Pak cik saya pun tak sihat.

“Jadi saya mengizinkan isteri untuk balik ke Sarawak beraya bersama keluarga.

“Sebelum raya kami beli baju raya sekali jadi tak timbul isu masalah rumah tangga ini,” katanya.

Mei tahun lalu, Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada Jun tahun sama, peguam kepada isteri Fikri, Wan Muhammad Afiq Mohd Razif memaklumkan anak guamnya menarik semula permohonan cerai yang difailkan.

Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari 2025 dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

Pasangan terbabit mengambil pendekatan menjaga privasi sejak awal perhubungan.

Perkahwinan mereka hanya diketahui umum selepas Fikry memuat naik gambar pernikahan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok