‘Okey, insya-Allah’ – Naim Daniel tiba di Mahkamah Sesyen Putrajaya

KEHADIRAN penyanyi dan pelakon Naim Daniel di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini menguatkan spekulasi dia merupakan selebriti yang didakwa terlibat melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini.

Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.34 pagi dengan  memakai sut hitam.

Naim yang dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna putih turut ditemani ibunya, Nora Taherah.

“Assalamualaikum, okey insya-Allah,” katanya menjawab pertanyaan pengamal media di pekarangan mahkamah hari ini.

Dia bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci tujuan kehadirannya di mahkamah.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperolehi daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat tersebut diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut.

Suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan lalu.

Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok