PELAKON Kamal Adli mengakui terdapat segelintir pelakon baharu yang kurang bergaul di set penggambaran dan lebih mengutamakan bermain telefon bimbit.
Menurut Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, dia sendiri banyak mendengar rungatan pelakon senior mengenai sikap pendatang baharu.
“Saya banyak dengar tentang perangai pelakon-pelakon baharu yang suka main telefon di set penggambaran. Lepas tu tak ‘study’ skrip.
Kalau kita bekerja dengan pelakon-pelakon senior, takkan nampak mereka main telefon. Saya tak tahu mereka letak telefon mereka di mana. Tetapi mereka akan duduk dan berborak dengan kita.
“Pelakon baharu sekarang lebih gemar main telefon dan buat konten media sosial. Jadi saya tak tahu sejauh mana keseriusan mereka dalam bidang lakonan ini. Mereka nak jadi pelakon atau ‘influencer’?,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama Hilang Kasyorga.
Tambah pemenang Hero Remaja 2008 itu lagi, industri lakonan adalah industri profesional dan tidak boleh sambil lewa.
“Mungkin mereka jadikan bidang lakonan sebagai kerja sambilan. Mungkin mereka ada sumber pendapatan yang lain melalui perniagaan atau sebagai ‘influencer’. Disebabkan itu mereka tidak jadikan bidang lakonan sebagai sesuatu yang serius.
Sebagai pelakon yang boleh dikatakan senior dalam industri ini, apa yang saya boleh cakap kepada pelakon-pelakon baharu supaya faham cara kerja dalam set penggambaran. Faham cara bekerja dengan pelakon senior. Mereka sangat bersedia bila masuk set. Jadi pastikan bila masuk set dah ‘study’ semua skrip,” kongsinya.
Ujarnya lagi, dia beruntung kerana sewaktu menceburi dunia lakonan 15 tahun lalu, media sosial belum lagi menakluk dunia.
Saya memang tak main telefon di set penggambaran. Waktu itu pula zaman kredit. Saya memang fokus hafal skrip sahaja sebab takut kena marah. Kalau buat silap, bukan pelakon sahaja yang akan pandang serong kepada kita tetapi kru juga terutamanya jurukamera.
“Bayangkan kalau kita tak serius lepas itu jurukamera tak suka kita sebab dia tahu kita main-main. Tapi kita berlakon nak kena pandang kamera. Jadi pastikan kita sentiasa bersedia dan bergaul dengan semua orang di set,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain Kamal bakal muncul dengan drama bersiri baharu berjudul Hilang Kasyorga dengan membawa watak sebagai bekas pembunuh upahan bernama Rodi.
Hilang Kasyorga terbitan Country & Univeral ini diarahkan Feroz Kader dan dibintangi pelakon handalan seperti Nabila Huda, Azhar Sulaiman serta Ellie Suriaty.
Siri ini bakal menemui penonton menerusi saluran Degup Unifi TV bermula 23 Jun 2025. – HIBGLAM