DIDAKWA menjadi antara artis termahal dan menerima bayaran dalam mata wang dolar di China, penyanyi Shila Amzah memilih untuk mengunci rapat mulutnya selain enggan menafikan mahupun mengiyakan perkara tersebut.
Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, penilaian terhadap harga seorang artis adalah subjektif, namun dia yakin setiap rezeki tidak datang tanpa usaha.
Saya hanya mampu ucap alhamdulillah, semua ini adalah rezeki. Saya percaya usaha tidak akan mengkhianati hasil.
Kalau di Malaysia, saya terima bayaran dalam ringgit. Kalau di luar negara, ikutlah mata wang negara berkenaan,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai dakwaan bakatnya lebih dihargai di luar negara berbanding tanah air sendiri, pelantun lagu Masih Aku Cinta itu enggan memandang serius perkara berkenaan.
Baginya, sokongan peminat dari dalam dan luar negara sama-sama membawa semangat buatnya untuk terus berkarya.
“Saya tak ambil serius pun isu itu. Bila saya baca komen dalam media sosial, ramai yang tetap hargai saya baik di Malaysia mahupun luar negara.
Saya juga terharu bila orang ramai kongsi semula video persembahan saya di luar negara. Itu yang buat saya rasa semangat dan dihargai.
“Tak penting saya lebih dihargai di mana. Yang penting, mereka nampak bakat saya dan semua kerja keras saya,” jelasnya pada sidang media program Raise The Star Malaysia.
Shila bakal menggalas tugas sebagai juri dalam program Raise The Star yang dijadualkan bersiaran mulai 22 Jun ini di saluran Astro Ria.
Selain Shila, barisan juri turut menampilkan Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatanna dan Aina Abdul. – HIBGLAM